BEKAS perdana menteri Najib Razak tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pagi ini untuk dirakamkan kenyataannya lagi oleh unit pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan hasil daripada aktiviti haram (Amla).
Beliau mengelak daripada bertembung pihak media dengan menggunakan pintu masuk lain agar kehadirannya tidak dirakam lensa kamera.
Sumber polis mengesahkan Najib sudah berada di dalam bangunan itu, sambil menambah beliau diiringi melalui laluan yang berbeza.
“Beliau tiba kira-kira pukul 10.15 pagi,” kata sumber itu secara ringkas.
Tiga hari lalu, Najib dipanggil oleh unit Amla dan disoal selama sejam untuk menjelaskan beberapa transaksi kewangan, termasuk pada 2011, dipercayai berkaitan dengan penyiasatan sedang berjalan berhubung 1MDB.
Najib didakwa dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Amla awal bulan ini, selain empat pertuduhan terdahulu berhubung RM42 juta daripada SRC International yang ditemui dalam akaun peribadinya.
Tiga deposit itu - berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, didapati dimasukkan ke dalam akaun Bank AmIslamic antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.
Terdahulu, terdapat 16 barangan termasuk barang kemas, kas, wang tunai dan beg tangan mewah, yang dirampas daripada enam hartanah yang dikaitkan dengan Najib, disiasat di bawah Amla 2001. – 30 Ogos, 2018.
MENYUSUL
Komen