KERAJAAN akan menyemak semula peranan agensinya bagi mengurangkan kos operasi dan pengurusan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan berhubung masalah pertindihan fungsi melibatkan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Maka ini saya setuju ada agensi harus disemak semula peranan mereka. Dan sekiranya perlu, kita harus menyelaraskan dengan agensi lain untuk mengurangkan belanja operasi atau mengurus.
Kritikan berhubung isu pertindihan fungsi berkenaan merupakan antara masalah utama yang dihadapi Pakatan Harapan dalam menyusun jentera kerajaan baharu.
Menurutnya, beliau memerhatikan masalah itu sejak berkhidmat dalam kerajaan selama 14 tahun ketika Presiden PKR, Anwar Ibrahim menjadi menteri Kabinet sebelum ini.
Jelasnya, pada waktu itu banyak agensi diperkenalkan untuk inisiatif berbeza namun bagi tujuan sama iaitu untuk membantu golongan Bumiputera.
“Apabila ada satu inisiatif untuk bantu golongan Bumiputera, maka akan diwujudkan satu agensi, kalau ada 10 inisiatif dia akan wujudkan 10 agensi,” katanya Azmin yang menyifatkannya sebagai satu pembaziran.
Perkara ini harus diteliti dan disemak semula memandangkan agensi sedia ada perlu bertanggungjawab kepada kumpulan sasar bagi memastikan mereka mendapat perkhidmatan terbaik tanpa merencatkan peruntukan yang ditetapkan, jelasnya.
“Apabila diwujudkan agensi ini, maka peruntukan yang diperuntukan untuk tujuan inisiatif itu tak sampai kepada kumpulan sasar kerana pengurusan lebih berminat untuk melakukan ubah suai pejabat, membeli kenderaan, membayar elaun tinggi kepada pengurusan dan ini harus dihentikan,” katanya.
Tambahnya perkara itu akan diteliti melalui kongres “Melihat Masa Depan Bumiputera” yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.
Melalui program itu, kementeriannya bersama agensi sedia ada dan unit perancang ekonomi akan mendengar aduan dan cadangan daripada usahawan kecil yang hadir pada kongres itu.
“Peranan-peranan badan dan agensi ini penting. Namun, ia mestilah selari dan senada dengan dasar kerajaan.
“Justeru, dalam kongres kali ini melibatkan juga agensi ini supaya pimpinan dapat dengar secara langsung daripada pemegang taruh apakah masalah mereka sedang hadapi dan macam mana kita boleh tangani secara kolektif,” katanya.
Penganjuran kongres berkenaan mendapat kritikan pemimpin MCA yang menuntut agar acara tersebut dihentikan kerana didakwa sebagai usaha memainkan elemen perkauman menjelang pilihan raya kecil Balakong dan Seri Setia. – 30 Ogos, 2018.
Komen