DBKL akan batalkan kontrak Plaza Rakyat jika pemaju gagal buat bayaran 


Noel Achariam

Projek Plaza Rakyat yang terletak di Jalan Pudu, terbengkalai sejak 1998 selepas usaha memulihkan kawasan terbukti sia-sia berikutan krisis kewangan Asia 1997. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 Ogos, 2018

PEMAJU Plaza Rakyat diberi tempoh sehingga huj ung September untuk menyelesaikan bayaran dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang mana kegagalannya berbuat demikian akan menyebabkan kontrak ditamatkan.

Datuk Bandar Md Amin Nordin Abdul Aziz berkata persetujuan sudah dicapai bagi membenarkan pemaju meneruskan kerja mereka di projek terbengkalai. 

“Secara dasarnya, ianya telah dipersetujui (pemaju). Namun, terdapat proses sebelum arahan pembangunan boleh dikeluarkan. 

“Terdapat beberapa peratus bayaran kepada Dewan Bandaraya sebelum projek berkenaan boleh dimulakan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Projek berkenaan yang terletak di Jalan Pudu, terbengkalai sejak 1998 selepas usaha memulihkan kawasan terbukti sia-sia berikutan krisis kewangan Asia 1997.

Pemaju baharu, Profit Consortium Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jual dan beli dengan DBKL untuk mengambil alih tapak berkeluasan 6.2 hektar itu pada harga RM740 juta pada Oktober. 

Plaza Rakyat sepatutnya menjadi kawasan yang terdiri daripada bangunan pejabat 79 tingkat, kondominium 46 tingkat, hotel 24 tingkat dan pusat membeli belah tujuh tingkat sebelum kerja pembinaannya dihentikan. 

Amin berkata pemaju kini sedang menunggu kelulusan arahan pembangunan untuk memulakan kerja pembinaan.

 Projek Plaza Rakyat sepatutnya menempatkan bangunan pejabat 79 tingkat, kondominium 46 tingkat, hotel 24 tingkat dan pusat membeli belah tujuh tingkat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 Ogos, 2018

Pemaju turut berdepan kebuntuan selepas beberapa pemegang unit, yang menuntut mereka diberi pampasan dan membayar faedah selama 20 tahun yang mereka terikat dengan projek terbengkalai.

Bekas timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Loga Bala Mohan dilaporkan berkata kerajaan hanya akan membenarkan projek berkenaan dimulakan semula sebaik sahaja isu pampasan kepada pembeli diselesaikan. 

Bagaimanapun katanya, Dewan Bandaraya dan pemaju baharu, sebagai pemilik tanah, tiada sebarang kewajipan undang-undang terhadap pemilik lot.

Amin berkata terdapat perjanjian yang berbeza antara pemaju dan pemilik lot, dan Dewan Bandaraya tidak terlibat dalam rundiingan antara kedua-dua pihak. 

“Pemilik lot itu kini di bawah Dewan Bandaraya. Apabila kita menjual tanah kepada pemaju, ia datang dengan liabiliti yang mereka perlu membayar pampasan kepada pemilik lot sebagai sebahagian daripada perjanjian. 

“Apa sahaja tanggungjawab adalah dengan pemaju (untuk bayar pampasan kepada pemilik lot).

Amin berkata, sekiranya pemaju mendaoat kelulusan, mereka boleh meneruskan projek berkenaan walaupun bayaran pampasan kepada pemilik lot belum dibuat.

“Itu terpulang kepada pemilik lot untuk mengambil apa sahaja tindakan terhadap pemaju. 

“Ini adalah dua perkiraan berbeza antara pemaju, Dewan Bandaraya dan pemilik lot.”

Sejak Januari, 104 daripada 211 pembeli asal diberikan surat tawaran kepada pemaju baharu dan rundingan sedang berjalan. – 30 Ogos, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen