Mekah yang tidak pernah lelap


Mustafa K. Anuar

Kota Mekah yang menjadi tumpuan jemaah haji dari seluruh dunia setiap tahun. – Gambar EPA 30 Ogos, 2018

“PUKUL berapa tutup?”

“Kita buka 24 jam,” jawab pembantu sebuah kedai kurma.

Dua pintu bersebelahannya ada sebuah farmasi, yang juga beroperasi 24 jam.

“Malaysia Boleh,” jerit seorang lelaki, yang tentunya pernah berurusan dengan banyak pelanggan dari Malaysia sebelum ini, selepas melihat Jalur Gemilang pada beg sandang saya.

Kedainya, yang juga dibuka siang malam, menjual pelbagai makanan seperti “BBQ Chicken Rise” dan “Shawaya & Rise”, dan bermacam juadah lain. (Itu caranya kedai itu mengeja nasi atau rice.)

Perniagaan tanpa henti ini membayangkan betapa lumayannya berniaga di sini terutamanya ketika jemaah berbondong-bondong datang ke kota suci Mekah pada musim haji.

Mereka yang datang dari serata pelosok dunia termasuk Uzbekistan, Pakistan, India, Indonesia, Malaysia, Kanada dan Nigeria, mengunjungi kedai-kedai ini dan yang lain-lainnya di sekitar menara jam besar menghadap Masjidil Haram.

Mereka mencari dan membeli barangan keperluan asas seperti kelengkapan dandanan diri, sejadah, tasbih, makanan, topi payung dan ubat, serta jubah, minyak wangi malah barangan kemas.

Kedai-kedai ini, terutamanya di sepanjang Jalan Ajyad yang sibuk, letaknya strategik dengan deretan hotel, perhentian bas dan lebih mustahak lagi, dekat dengan Masjidil Haram. Di sinilah jemaah lalu lalang pergi dan balik masjid setiap hari.

Malah, jemaah semuanya ke masjid sepanjang siang dan malam. Mereka bersembahyang lima waktu sehari. Panas terik atau cabaran lain tidak jadi hal dalam khusyuk mereka menyerah diri kepada Allah.

Dalam banyak hal, kedai-kedai ini memenuhi keperluan jemaah yang berlama-lamaan beribadat di masjid itu.

Itu sebabnya kenapa, misalnya, kedai ais krim ada tarikan luar biasa pada tengah hari walaupun dalam kalangan jemaah yang batuk-batuk. Kedai itu juga dikunjungi ramai pada atau selepas tengah malam.

Cuaca yang panas cepat menyebabkan dahaga. Air zam zam yang tersedia percuma untuk jemaah di Masjidil Haram sesungguhnya adalah anugerah Allah.

Di sini, semua orang ingin menghilangkan dahaga mereka. Ada seorang wanita dari Afrika berjalan dari masjid menjunjung botol air 10 liter di atas kepalanya. Cara dia melangkah dan menyeimbangkan badan – tanpa memegang botol di kepalanya – tentu membuatkan banyak peragawati cemburu.

Kedai gunting rambut yang dibuka sepanjang hari di kawasan itu juga bermanfaat terutamanya pada jemaah yang baru menyelesaikan rukun haji, yang menuntut mereka menggunting rambut atau bercukur.

Ada deretan kedai makan dekat menara jam yang juga dibuka pada waktu malam untuk menyediakan makanan kepada golongan miskin atas sedekah sesetengah jemaah.

Apabila berurusan dengan peniaga-peniaga ini, kita boleh melihat perbezaan budaya atau kadang kala membuatkan kita bingung ternganga.

Di sebuah kedai menjual sejadah, saya bertanya kepada seorang pembantu kedai dari negara mana di Asia Tengah dia berasal.

“Altantuya!” katanya dengan berani selepas perasan saya datang dari Malaysia, merujuk pada wanita Mongolia yang dibunuh dan dibom dalam kejadian penuh misteri beberapa tahun lalu.

Di sebuah pasar raya, kalau bercadang membeli baju atau seluar, bersiap sedialah untuk terkejut apabila bertanya bilik salin untuk mencuba pakaian.

Pembantu kedai akan menunjukkan suatu sudut yang penuh dengan kotak-kotak di belakang almari. Anda kena buang jauh-jauh rasa malu yang ada untuk menyalin pakaian yang hendak dibeli.

Walaupun dengan budaya yang berbeza, perniagaan berjalan sepanjang masa di sekeliling masjid. – 30 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen