CADANGAN pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL1) sepanjang 19.5km tidak akan memusnahkan alam sekitar Pulau Pinang, tegas Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Projek PIL1 itu, yang merangkumi 70% terowong di kawasan berbukit dekat Bukit Bendera, Paya Terubong dan Sungai Ara, mendapat tentangan keras pertubuhan masyarakat sivil Pulau Pinang, Penang Forum, yang mahu rancangan pembinaan lebuhraya itu dibatalkan.
Chow berkata, pembinaan projek berkenaan mengambil kira kepentingan masyarakat setempat.
“Jika anda lihat keadaan geografi pulau, kita tidak mempunyai ruang (alternatif). Di mana kita boleh bina, kita terpaksa bina.
“Kita tidak mahu pindah (projek itu) ke kawasan berbukit tetapi secara praktikalnya, tiada ruang di koridor timur laut. Jadi penjajaran laluan (lebuhraya) tersebut dipilih dengan pembinaan terowong melalui kawasan berbukit supaya akan berlaku gangguan yang paling sedikit kepada masyarakat setempat.”
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab forum Penang 2030.
Lim Gaik Siang dari Penang Heritage Trust membangkitkan kebimbangan mengenai pembinaan terowong di kawasan berbukit, sambil memetik bahawa Bukit Bendera kini sedang memohon untuk menjadi sebahagian daripada Rizab Biosfera Unesco dan menyatakan bahawa projek terowong PIL1 itu terlalu dekat dengan kawasan sensitif serta empangan Air Itam.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri supaya mengkaji semula Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang menurutnya akan menjejaskan kehijauan Pulau Pinang. – 29 Ogos, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen