PENINGKATAN jumlah dagangan di Pelabuhan Klang mendorong Malaysia untuk membuat kajian jika Pulau Carey boleh dijadikan pelabuhan seterusnya di kawasan itu, kata Kementerian Pengangkutan hari ini.
Justeru, Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang akan membuat kajian kebolehlaksanaan sebelum projek itu boleh dilaksanakan.
“Kos untuk kajian itu, yang akan mengambil masa setahun, akan ditanggung oleh PKA. Dan jika kajian itu positif, kos akan ditanggung oleh konsesi,” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata perunding akan dilantik oleh PKA melalui RFP (permintaan untuk cadangan).
“Kajian kebolehlaksanaan itu akan terdiri daripada 16 kajian berasingan,” kata Loke.
“Keputusan akhir mengenai sama ada untuk membangunkan satu lagi pelabuhan di Pulau Carey akan diputuskan oleh Kabinet selepas kajian itu dimuktamadkan,” kata Loke.
Pelabuhan itu dijangka melibatkan kawasan tanah seluas 744 ekar di Pulau Carey yang mempunyai ukuran seluas 30,000 ekar.
Pulau Carey kini didiami etnik Mah Mehri dan beberapa ladang kelapa sawit yang dimiliki oleh Sime Darby.
Terdapat kira-kira 1,400 masyarakat Mah Mehri tinggal di Pulau Carey yang terkenal dengan hasil ukiran patung dan topeng kayu unik diperbuat daripada kayu paya merah yang banyak terdapat di situ.
“Ini adalah projek jangka masa panjang bagi memastikan kapasiti Malaysia untuk mengendalikan kargo kekal pada tahap yang kompetetif,” kata Loke.
Tambah beliau Singapura turut membangunkan sebuah lagi pelabuhan di Tuas, justeru itu Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam industri maritim.
Loke berkata kerajaan baharu bagaimanapun tidak terikat dengan beberapa penilaian yang ditetapkan oleh kerajaan terdahulu berhubung pembangunan tersebut.
Beliau berkata kajian kebolehlaksanaan dijangka akan mula dijalankan pada November.
Ketika ditanya mengenai kajian yang dibuat MMC Corp, Loke berkata ia hanya diperingkat perjanjian persefahaman (MoU) dan kerajaan tidak seharusnya patuh kepada arahan mana-mana syarikat.
“Kami lebih suka jika kajian itu dijalankan secara bebas tanpa berat sebelah,” tambahnya.
“Dan jika kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan projek berkenaan, maka kerajaan akan mempertimbangkan semula siapa yang akan memberikan konsesi itu kepada siapa.”
Anak syarikat MMC Corp Bhd, MCC Port Holdings Sdn Bhd, dan Sime DarbY Property Bhd, menandatangani MoU dengan pengendali pelabuhan swasta terbesar India, Adani Ports dan Special Economic Zone Ltd, bagi membuat kajian kebolehlaksanaan berhubung pembangunan di Pulau Carey pada tahun lalu.
BN merancang untuk membangunkan bandar raya pelaburan mega dengan kos kerja-kerja pembinaan infrastruktur dianggarkan berjumlah RM200 bilion meskipun belum menjalankan sebarang kajian kebolehlaksanaan.
Pulau Carey terletak di selatan Pelaburan Klang dan utara pekan Banting. Ia dipisahkan dari tanah besar Selangor oleh Sungai Langat dan dihubungkan dengan jambatan dari Chodoi dan Teluk Panglima Garang.
Pulau yang dinamakan bersempena seorang pegawai awam British di Malaya Edward Valentine John Carey itu, turut menjadi penempatan kira-kira 2,000 Orang Asli dari suku kaum Mah Meri. – 29 Ogos, 2018.
Komen