SEORANG daripada enam pelajar sekolah menengah pernah jadi mangsa buli, dengan kebanyakannya dibuli kerana rupa paras mereka, dedah kaji selidik Kementerian Kesihatan.
Kajian Kesihatan Remaja 2017 menunjukkan kebanyakan mangsa dibuli atas dua sebab: pertama, kerana bentuk badan mereka (15.9%), dan kedua, dibuli kerana ejekan seksual secara komen, perilaku atau gurauan (14.1%).
Pahang mencatatkan negeri paling ramai pelajar dibuli dengan 22.0% diikuti Selangor (18.6%) dan Sabah (18.3%) manakala Kelantan paling sedikit (12.5%).
Kajian itu juga mendapati tiada perbezaan ketara antara kes buli di bandar dan luar bandar.
“Kajian menunjukkan tingkah laku ganas ada kaitan dengan faktor negatif lain seperti merokok, salah guna dadah, ponteng dan masalah fizikal dan mental,” kata laporan Kementerian Kesihatan itu.
Kajian itu juga mendapati 11.8% remaja mengalami penderaan fizikal di rumah sementara 43.2% didera secara lisan.
Kajian oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) itu melibatkan lebih 27,000 pelajar dari 212 buah sekolah menengah di seluruh Malaysia, dibuat antara Mac hingga Mei 2017.

Kajian itu bagaimanapun mendapati kes buli berkurangan berbanding lima tahun lalu, dengan penurunan daripada 17.9% pada 2012 kepada 16.2%.
Sebagai rumusan, kajian itu mencadangkan kerajaan menyusun strategi yang melibatkan semua pihak – ibu bapa, sekolah dan masyarakat – untuk menangani gejala buli dan samseng dalam kalangan remaja sekolah.
Ia menyarankan penyelesaian melalui kaunseling dan bukannya hukuman, serta mencadangkan pendekatan menyeluruh bermula dari keluarga dan tidak menyerahkan beban kepada pihak sekolah semata-mata.
Pencegahan
Pendidik yang terlibat langsung dengan program anti buli juga sependapat, kaedah pencegahan dan penglibatan keluarga lebih berkesan untuk menangani gejala buli.
“Guru-guru perlu mengenal pasti pelajar yang mempunyai kecenderungan untuk membuli,” kata pensyarah kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Yatim.
“Ambil (dekati) mereka cepat-cepat dan pulihkan. Lakukan program bersama pelajar-pelajar yang baik dan ikuti perkembangan pelajar tersebut,” tambahnya.
Aziz, yang 20 tahun terlibat dalam meneliti isu disiplin pelajar, berkata masalah disiplin pelajar di sekolah termasuk buli boleh diatasi dengan berkesan melalui kasih sayang.

Katanya, remaja yang dianggap bermasalah tidak perlu disisihkan sebaliknya didekati dengan kasih sayang.
“Akibat suara mereka tidak didengari, mereka akan terus jadi jahat untuk kepuasan diri,” katanya, yang tidak bersetuju dengan tindakan buang sekolah sebagai hukuman disiplin.
“Kadang-kadang pelajar nakal ini mempunyai kemampuan tetapi kerana tidak diberi peluang, kadang-kadang mereka rasa terabai. Mereka mahu ke depan tetapi disisihkan.
“Apabila tidak dipandang, mereka akan lakukan sesuatu untuk menjadi popular,” katanya.
Sementara itu, penggerak kempen anti buli You Touch You Go, Dr Nurul Kharmila Abdullah berpendapat, ibu bapa perlu memberi penekanan kepada aspek disiplin anak bermula dari rumah lagi.
“Anak-anak perlu diajar untuk menghormati orang lain dan berkasih sayang.
“Tetapi walaupun pendekatan ini diterapkan (di rumah) ada remaja yang terpengaruh dengan rakan sebaya kerana takut tidak diterima rakan-rakannya,” katanya, yang juga ibu kepada mangsa buli. – 31 Ogos, 2018.
Komen