Pengerusi ERC yakin dapat perbaiki sistem pilihan raya


Yasmin Ramlan

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Pilihan Raya Ab Rashid Ab Rahman berkata beliau positif dapat meyakinkan pihak yang tidak berpuas hati dengan pelantikannya, untuk memperbaiki sistem sedia ada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2018.

WALAUPUN ada perasaan tidak puas hati daripada pembangkang terdahulu ketika Ab Rashid Ab Rahman menyandang jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau positif dapat meyakinkan mereka memperbaiki sistem sedia ada.

Rashid berkata pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Pilihan Raya (ERC) terdapat sedikit kontroversi tetapi naib presiden Bersatu itu yakin beliau dipilih berdasarkan latar belakang dan pengalamannya sebelum ini.

“Ada sedikit kontroversi..orang lain mahukan jawatan ini. Malangnya saya dilantik. Bukan saya yang mahukan kerja ni (pengerusi ERC).

“Tetapi saya rasa mereka (kerajaan) lihat saya kerana latar belakang saya. Mungkin kerana saya lihat banyak perkara yang berlaku di luar di mana saya boleh menggunakannya sebagai panduan untuk menjalankan tanggungjawab (di ERC),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

DAP sebelum ini pernah mendesak agar beliau meletak jawatan sebagai pengerusi SPR pada PRU11 berikutan terdapat kelemahan dalam badan bebas itu dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Selain wakil daripada SPR, ERC turut disertai wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Merdeka Centre, Bersih dan Rise of Sarawak Efforts.

Antara ahli dalam jawatankuasa itu ialah Prof Redzuan Othman dari Institut Darul Ehsan, Wan Saiful Wan Jan dari Kementerian Pendidikan dan Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute. – 29 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen