ERC pertimbang tarik kuasa RoS daftar parti politik


Yasmin Ramlan

Pengerusi ERC Ab Rashid Ab Rahman berkata pihaknya wajar menjadi agensi yang bertindak mengawal selia segala aktiviti dilakukan oleh parti politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2018.

PENDAFTARAN parti politik tidak sepatutnya berada di bawah bidang kuasa Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), kata Jawatankuas Khas Pembaikan Pilihan Raya (ERC).

Pengerusinya, Ab Rashid Ab Rahman berkata ECR sewajarnya menjadi pihak yang bertindak mengawal selia aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh parti politik.

Justeru, ia akan mempertimbangkan untuk menarik kuasa RoS dalam mendaftar parti politik.

“Bila mereka ada kuasa untuk mendaftar, mereka juga ada kuasa untuk kawal selia.

“Jadi kita sedang melihat perkara itu. Kemungkinan akan tarik kuasa tersebut daripada RoS,” katanya di sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, ia merupakan salah satu agenda pembaikan yang akan dilakukan oleh pihaknya iaitu mewujudkan kerangka undang-undang yang sesuai untuk mendaftar dan mengawal selia parti politik dan badan atau pihak yang layak untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya atau sebarang aktiviti bersangkutan dengannya.

RoS sebelum ini didakwa mengambil sikap berdiam diri mengenai permohonan pendaftaran Bersatu yang ditubuhkan oleh perdana menteri kini, Dr Mahathir Mohamad. 

Ini menyebabkan Pakatan Harapan terpaksa bersedia menerima kemungkinan pendaftaran parti Melayu itu dibatalkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. 

Ia bagaimanapun, bukan perkara baharu bagi pembangkang yang kini menubuhkan kerajaan, kerana situasi yang sama pernah dilalui DAP menjelang PRU13. – 29 Ogos, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen