Bekas ketua risikan ditahan reman


Noel Achariam

Bekas ketua agensi risikan Hasanah Abdul Hamid diiringi beberapa pengawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semasa tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Ogos, 2018.

BEKAS ketua agensi risikan Hasanah Abdul Hamid direman oleh Mahkamah Majistret Putrajaya selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Berpakaian tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna oren terang serta bertudung ungu, Hasanah dibawa ke mahkamah pada pukul 9.10 pagi.

Hasnah, yang bergari, diiringi oleh pegawai SPRM dan peguamnya.

Peguam Hasnah, Shaharudin Ali berkata timbalan pendakwa raya meminta tempoh tujuh hari tetapi Majistret Wira Abdul Halim membenarkan anak guamnya ditahan selama lima hari.

“Timbalan pendakwa raya juga memfailkan usul untuk menghentikan saya daripada bertemu anak guam saya sepanjang tempoh reman itu.

“Mahkamah membenarkan dan ia tidak masuk akal.

“Saya akan memfailkan bantahan kepada Mahkamah Tinggi untuk mencabarnya,” kata beliau ketika ditemui di Istana Kehakiman hari ini.

Perintah reman itu berkaitan Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang merupakan kesalahan bagi tindakan salah guna kuasa atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Hasanah dipercayai ditahan untuk membantu siasatan terhadap penangkapan tujuh pegawai pentadbiran dan diplomatik dari Jabatan Perdana Menteri kerana didakwa menyalahgunakan dana Pilihan Raya Umum ke-14.

Shahrudin berkata timbalan pendakwa raya menggunakan Seksyen 28 A (8) kanun jenayah yang memberikan pihak berkuasa hak menghalang peguam daripada menemui anak guam mereka sepanjang tempoh reman.

“Arahan daripada Hasnah adalah mencabarnya dan mendapat keputusan daripada Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Persekutuan.

“Ini bertentangan dengan Perlembagaan persekutuan di mana seseorang itu mempunyai hak kepada peguam.”

Shahrudin berkata timbalan pendakwa raya berhujah jika peguam menemui anak guamnya, suspek dalam kes akan melepaskan diri daripada polis.

“Timbalan pendakwa raya juga memberikan alasan bukti mungkin hilang atau dimusnahkan.

“Ini (alasan timbalan pendakwa raya) tidak ada kaitan dengan peguam (mewakili Hasnah).

“Ini adalah isu yang harus dijawab oleh Mahkamah Tinggi.”

Sharudin juga memberitahu mahkamah jika beliau tidak dapat menemui Hasnah, bagaimana mereka akan bersedia untuk ke mahkamah.

“Jelas sekali mahkamah tidak mempertimbangkan hal itu. Tetapi kami akan tunggu dan lihat.” – 29 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen