Memang BR1M satu beban?


Zainal Rashid Ahmad

SAMA ada istilah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2012, atau kini dikenali Bantuan Sara Hidup (BSH), isunya jadi hangat apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menyatakan hasrat untuk melupuskannya.

Ia bukan kejutan. Berdasarkan kewangan kerajaan yang meruncing sekarang serta Bajet 2019 yang digambarkan PM akan lebih kecil belanjanya, nasib BSH boleh dijangka. Ia beban sekiranya diteruskan.

Dr Mahathir menyifatkan, pemberian wang mudah kepada 7.1 juta penerima asal BR1M atau 4 juta penerima BSH adalah tidak wajar. Ia budaya memberi wang melulu kepada penerima tanpa sebarang usaha atau kerja.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menyahut kenyataan Dr Mahathir dan menyifatkan asal-usul BR1M sebagai “rasuah”. Pemberian yang motifnya pada era BN hanya untuk mendapatkan sokongan politik.

Azmin bersetuju dengan Dr Mahathir. Namun, dengan berlapik menyebut, kerajaan PH sedang merangka inisiatif baru ke arah mensejahterakan rakyat.

Namun, natijahnya, perancangan baharu ini tidak lagi mengamalkan budaya menyogok atau memperbodohkan rakyat.

Sejak 2012, lebih RM30 bilion dibelanjakan untuk BR1M selama tujuh tahun. Satu angka yang besar.

Bermula dengan RM8.7 bilion pada tiga tahun pertama 2012 hingga 2014, BR1M 2015 melonjak ke RM5.3 bilion. Angka bagi 2016 naik lagi kepada RM5.9 bilion dan melangkau ke paras RM6.8 bilion pada 2017.

Sebaik sahaja menguasai Putrajaya pada 10 Mei, BR1M dikaji semula oleh kerajaan PH dengan menanda aras kumpulan penerima.

Namun setakat ini, setelah pemberian frasa kedua oleh kerajaan PH, secara keseluruhan termasuk kos frasa pertama oleh kerajaan BN, biaya BR1M@BSR 2018 ini sudah melebihi RM2 bilion.

Pada Bajet 2018, kerajaan BN menetapkan RM6.8 bilion sebagai peruntukan BR1M.

Dr Mahathir dan Azmin berada dalam satu nada. Ia boleh difahami kerana kabinet menyedari realiti keadaan kewangan dan persekitaran ekonomi negara.

Menguruskan semula hutang dan komitmen negara sekitar RM1 trilion, serta suasana ekonomi dunia yang agak yo-yo, wajar langkah menguruskan wang negara dengan bijak adalah satu keutamaan.

Rakyat juga perlu faham, dengan pelupusan GST dan diganti SST, untuk tahun ini saja kerajaan kehilangan RM23 bilion kutipan pendapatan.

Itu belum dikira dengan pendedahan terbaharu membabitkan isu kehilangan RM19 bilion wang pemulangan GST dan isu lesapnya RM16 bilion kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sepatutnya dipulangkan kepada pembayar. Dua kes ini menjadikan akaun kewangan negara semakin kritikal.

Sudah pasti bagi 2019, kerajaan terpaksa menyusun semula struktur untuk membayar kembali hutang tertunggak GST dan cukai pendapatan yang berjumlah RM35 bilion.

Sekiranya isu hutang pemulangan cukai pendapatan 2017 dikontra pada tahun hadapan, bererti kutipan cukai pendapatan 2019 akan menyusut. Ini satu lagi bencana.

Walaupun Kabinet dijangka sepakat dalam isu ini, Ahli Parlimen Setiawangsa dan calon Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, punya pandangan berbeza.

Menghapuskan BR1M dilihat bukan kuasa PM secara mutlak. Malah, bukan kuasa Kabinet sepenuhnya.

Nik Nazmi mahu isu ini dibawa ke konsensus semua parti PH. Alasannya mudah, meneruskan pemberian BR1M disebut dalam janji Manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Kelantangan Nik Nazmi boleh difahami. Ia tidak semata-mata isu BR1M. Nik Nazmi bersuara untuk memenangi hati 800,000 pengundi PKR menjelang pemilihan parti itu pada September hingga Oktober nanti.

Cara populis Nik Nazmi boleh saja dilihat sebagai menggunakan isu BR1M untuk tujuan populariti. Sebagai senior PKR dan ahli politik yang celik ekonomi, Nik Nazmi pasti maklum realiti sebenar yang sedang dialami Putrajaya sekarang.

Memenuhi kehendak rakyat dalam memansuhkan GST, melepaskan senarai hitam peminjam PTPTN dan menyediakan caruman suri adalah antara tiga perkara manifesto yang telah pun dilaksanakan dalam 100 hari pemerintahan PH. Tiga perkara ini pun sudah memberikan impak pada kewangan kerajaan.

Tidak semua keadaan, pada tempoh tahun pertama berkuasa, kerajaan PH perlu terus kekal dengan dasar memberi dan memberi - tanpa melihat realiti ekonomi dan kewangan negara. Manifesto tidak boleh dijadikan alasan hingga kerajaan harus melupakan realiti ekonomi semasa.

Minggu lalu, Dr Mahathir menyatakan Bajet 2019 dikecilkan. Apakah masih relevan BR1M dikekalkan?

Walaupun dengan sentimen, bahawa dana ini perlu dikekalkan demi kebajikan rakyat, ia perlu relatif dan relevan dengan realiti.

Nik Nazmi perlu melihat dan belajar – bagaimana pasukan Najib Razak telah merosakkan banyak perkara mengenai ekonomi. Renungi puncanya.

Jawabnya, Najib dan pasukan politiknya mencipta BR1M sebagai indikasi politik untuk membuktikan betapa ekonomi negara pada era BN sangat hebat.

Kononnya, wang mencurah-curah hingga kerajaan mampu mengagihkan RM3 bilion hingga RM7 bilion setahun melalui peruntukan BR1M. Malah, dilaksanakan selama tujuh tahun berturut-turut.

Namun, hakikatnya, rakyat melihat ekonomi dalam realiti lain. Kos sara hidup yang tinggi dan cukai GST yang mencekik leher tidak dapat dikaburkan dengan BR1M. Itu realiti utama yang menyebabkan BN ditendang keluar dari Putrajaya pada 9 Mei lalu.

Isu ekonomi dan kewangan negara sangat kritikal. Dr Mahathir dan pasukan Kabinetnya sedang melihat, berinteraksi dan mencari solusi terbaik dalam lejar ekonomi untuk memastikan kewangan negara terus sihat.

Malah, kenyataan PM untuk memastikan Bajet 2019 lebih kecil, sudah tentu soal bajet pendidikan, kesihatan dan keselamatan negara perlu diberikan keutamaan.

Mana mungkin kita menabur wang bagi tujuan kekal popular, ketika realiti ekonomi menunjukkan negara sedang berdepan cabaran kewangan yang kritikal.

Putrajaya tentulah mahu bertindak bijak. Tidak semua hal dan dasar harus merujuk pada keinginan untuk menjadi kerajaan yang popular semata-mata.

PH dipilih bagi membetulkan banyak simpang-siur amalan BN yang menjerumuskan ekonomi negara ke jurang hutang dan korupsi. Justeru, tentulah rakyat berharap, kerajaan mengutamakan pembetulan major itu dahulu.

Perdana menteri dan kabinetnya melihat pengurusan ekonomi negara dalam konteks realistik dan pragmatis. Orang lain yang terlalu ambisi dalam konteks politik pasti lebih cenderung mahu menjadikan isu-isu ekonomi sebagai bahan populis.

Itu beza antara realiti politik dan politik populis. Mustahil BR1M diteruskan ketika kita perlu mengatur semula budaya ekonomi dan kewangan negara.

Lupakan sebentar soal merit politik, kerana tugas utama PH sekarang ialah menyelamatkan negara. – 29 Ogos, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen