JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) menahan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin di sebuah surau di Petaling Jaya malam tadi kerana didakwa menyampaikan kuliah tanpa tauliah.
“Ya saya ditahan,” kata Wan Ji menerusi aplikasi Whatsapp kepada The Malaysia Insight.
Katanya, Jais melepaskannya kira-kira jam 10.30 malam tadi dan dimaklumkan pendakwaan di mahkamah akan dijalankan pada 5 Disember depan.
Sementara itu, menerusi tulisan di Facebook miliknya, beliau berkata kecewa dengan penahanan tersebut.
Katanya, beliau tidak pernah ditahan ketika Selangor di bawah pemerintahan Barisan Nasional dan menteri terdahulu iaitu Khalid Ibrahim.
“Saya ditangkap Jais sejurus selesai solat isyak di sebuah surau di Taman Dato Harun, Selangor atas dakwaan tidak memiliki tauliah,” katanya.
Wan Ji turut menafikan beliau ke surau itu untuk mengajar, tetapi katanya hanya menyampaikan usrah, apatah lagi beliau tidak membawa sebarang kitab.
Katanya, Jais memaklumkan penahanannya itu dibuat berdasarkan aduan individu yang tidak didedahkan.
“Mereka tidak memberitahu siapa pengadu tersebut,” katanya.
Wan Ji yang juga ketua biro agama PKR itu ditahan kali pertama atas dakwaan kuliah tanpa tauliah pada 29 Februari, 2015 di sebuah surau di Seksyen 17, Shah Alam. – 31 Julai, 2017.
Komen