Pakatan perlu bertindak pantas selamatkan Malaysia


Chan Kok Leong

Kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil alih Putrajaya perlu bertindak pantas melakukan perubahan struktur perundangan dan institusi yang diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2018.

KERAJAAN baharu perlu bertindak pantas dan berani membuat keputusan tidak popular dalam Malaysia baharu, kata panelis sebuah forum malam tadi.

Atau sekurang-kurangnya mengembalikan “jiwa negara”, kata peguam Orang Asli terkenal Siti Kasim.

“Mereka patutnya tahu yang mereka berkuasa untuk buat pilihan dan keputusan tidak popular berasaskan kesaksamaan kerana kita tak boleh tunggu masyarakat berubah sendiri,” kata Pesuruhjaya Suhakam Gerald Joseph pula.

Beliau memberikan jawapan tersebut mengulas pandangan yang kerajaan baharu tidak cukup berusaha memperbaiki isu kaum dan agama negara ini pasca 9 Mei.

Joseph berkata kerajaan sudah meratifikasi Konvensyen Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai isu wanita dan kanak-kanak sebelum melaksanakan undang-undang dan perlu berbuat perkara sama sekarang.

“Kerajaan tak boleh bertangguh lagi untuk buat perubahan struktural walaupun akan wujud tempoh yang tidak menyenangkan,” kata Joseph pada forum “Malaysia Baru: 61 Years After Merdeka, Do Ethnicity & Religion Matter?” di Petaling Jaya malam tadi.

Siti Kasim yang hadir pada forum tersebut menambah yang sesiapa sahaja boleh menguruskan korupsi tetapi kerajaan baharu perlu mengembalikan negara pada landasan kesaksamaan dan kehormatan.

Seorang lagi ahli panel, Shareena Sheriff dari Sisters in Islam berkata walaupun kerajaan sudah berubah, keganasan terhadap kumpulan minoriti masih membimbangkan.

“Walaupun menteri dah keluarkan kenyataan tetapi kurangnya tindakan positif dan tegas yang keganasan tersebut tidak boleh diterima tidak wujud,” kata Shareena merujuk kepada kes seorang transgender yang dibelasah kejam lapan lelaki di Negeri Sembilan.

Katanya lagi, kewujudan dua sistem perundangan juga tidak membantu kerana Pakatan Harapan masih belum memulakan perubahan perundangan yang diperlukan.

Pakatan Harapan perlu berani buat keputusan tidak popular kerana kita tak boleh tunggu masyarakat berubah sendiri, kata peguam terkenal Siti Kasim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2018.

Pada awal forum, pensyarah undang-undang perlembagaan Prof Dr Shad Saleem Faruqi memberitahu yang Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen yang adil bermatlamat melindungi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau gender.

“Semangat Perlembagaan Merdeka itu melibatkan semua di mana Artikel 5-13 memperkaya kehidupan seseorang tanpa mengira kaum, agama, gender atau daerah,” kata Shad mengenai peruntukan kebebasan dalam perlembagaan negara.

Membandingkan Artikel 136 dan 153, Shad berkata kuota Bumiputera yang disebut dalam 153 tidak mengetepikan 136 yang menyatakan semua yang bekerja dalam perkhidmatan awam “perlu dilayan dengan adil saksama”.

“Bekas ketua hakim negara Suffian (Mohamed Hashim) menyatakan yang walaupun boleh ada kuota Bumiputera di peringkat kemasukan tetapi selepas itu, semuanya perlu dilayan dengan adil,” kata Shad.

Pensyarah tersohor berusia 71 tahun itu mengulas kecaman pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana asal keturunan kaum mereka.

Profesor undang-undang tersohor, Shad Saleem Faruqi berkata semangat Perlembagaan Malaysia adalah kesederhanaan dan toleransi dan kita perlu kembali mengamalkannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2018.

Tambahnya lagi, perlembagaan juga tidak meletakkan kuota kaum atau agama dalam pelantikan ahli Parlimen, perdana menteri dan Jemaah Menteri.

“Perlembagaan adalah soal kesederhanaan tetapi ramai rakyat Malaysia tak tahu, sebahagian sebabnya adalah kerana pengetahuan yang kurang mengenai perlembagaan dalam kalangan ahli politik dan pemimpin lain,” kata Shad.

“Memandangkan kita akan menyambut Merdeka ke-61, kita perlu kembali kepada semangat toleransi nenek moyang kita,” katanya.

Ahli panel lain forum malam tadi adalah bekas ketua pengarah Kementerian Kewangan Mohd Sheriff Mohd Kassim (G25) dan Eugene Yap (Gabungan Bertindak Malaysia). Panel itu dimudah cara oleh Prof Dr Denison Jayasooria. – 29 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen