SPRM tahan bekas ketua 'agensi risikan'


Alfian Z.M. Tahir

Bekas ketua pengarah Organisasi Risikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2018.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan bekas ketua pengarah Organisasi Risikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid, menurut sumber terdekat agensi anti rasuah itu kepada The Malaysian Insight.

Hasanah dipercayai ditahan bagi membantu siasatan terhadap penangkapan tujuh lagi kakitangan MEIO yang terdiri daripada pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Perdana Menteri yang didakwa menyalahguna dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Beliau tidak akan didakwa, hanya untuk membantu siasatan,” kata sumber itu.

“Siasatan bukan mengenai surat yang beliau hantar kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS).”

Juga difahamkan, Hasanah akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok dan permohonan reman akan dikemukakan.

Hasanah telah menghantar sepucuk surat kepada CIA supaya AS menyokong pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak jika Barisan Nasional memenangi PRU14,  9 Mei lepas walaupun dengan majoriti mudah atau hanya dengan kelebihan satu kerusi.

Menurut laporan, tujuh pegawai dari Gred 44 hingga 48 Jusa B dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9.05 pagi semalam.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan salah seorang daripada tujuh pegawai tersbut merupakan ketua pengarah dalam kategori Jusa B dan bergelar “Datuk”.

Pada 8 Ogos, SPRM menahan 17 individu terdiri daripada pegawai dan pengawal keselamatan dari Jabatan Perdana Menteri kerana didakwa menyalahguna peruntukan PRU14 sebanyak RM3.5 juta. – 28 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen