PKR anjak tarikh pengundian pemilihan parti


Nabihah Hamid

PKR menganjak sekali lagi tarikh pemilihan parti, lapan hari ke depan, daripada 14 September kepada 22 September ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti, Rashid Din. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2018.

PKR menganjak sekali lagi tarikh pemilihan parti, lapan hari ke depan, daripada 14 September kepada 22 September ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti, Rashid Din.

Pertukaran tarikh itu terkandung dalam sepucuk surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Rashid, yang sesalinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

“Jawatankuasa Pemilihan Parti telah mengadakan perbincangan dengan teliti berhubung dengan tarikh pengundian peringkat cabang dan negeri yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“Maka, JPP bersetuju dengan pemilihan tarikh pengundian yang baru peringkat Cabang dan Negeri dari 22 September 2018 ke 28 Oktober 2018,” kata Rashid dalam surat berkenaan.

Sebelum ini, PKR mengubah tarikh penamaan calon pemilihan parti peringkat pusat kepada 5 Ogos bagi memberi laluan kepada jentera dan pimpinan untuk membantu pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis di Selangor.

Tarikh penamaan calon itu sebelumnya ditetapkan pada 29 Julai turut dianjak seminggu kerana bertindih dengan penamaan calon pemilihan cabang bagi beberapa negeri.

Sementara itu, pegawai parti memberitahu The Malaysian Insight, tarikh pemilihan itu dianjak lapan hari ke depan kerana bertembung dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Seri Setia, yang ditandingi calon PKR mewakili Pakatan Harapan.

Pilihan raya kecil DUN Seri Setia akan berlangsung pada 8 September, serentak dengan pilihan raya kecil DUN Balakong, kedua-duanya di Selangor.

Tarikh 8 September itu sebelum ini ditetapkan sebagai tarikh mesyuarat agung tahunan cabang PKR di Selangor, yang dijadual berlangsung serentak di 22 cabang. Difahamkan semua cabang harus terlebih dahulu menyelesaikan mesyuarat agung tahunan sebelum boleh mengadakan pemilihan parti.

“Tarikh mesyuarat agung bagi Selangor sama dengan pilihan raya kecil, jadi kita anjak ke 15 September.

“Sebab itulah juga JPP terpaksa tukar tarikh (pemilihan) buat kali kedua. Kita juga tidak cukup tenaga kerja dan logistik,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Berdasarkan tarikh baru, Pulau Pinang dan Kedah akan membuka proses pengundian pada 22 September sebelum ditutup di Sabah pada 27 dan 28 Oktober.

Pemilihan di Sabah akan berlangsung dua hari kerana pertimbangan logistik. Sabah adalah negeri yang mempunyai jumlah keahlian kedua terbesar iaitu lebih kurang 145,000 atau kira-kira 18% daripada keseluruhan ahli PKR yang layak mengundi.

Selangor, negeri dengan jumlah ahli paling ramai, juga akan mengundi secara berperingkat selama tiga hari pada 13, 14 dan 21 Oktober.

Pengundian secara elektronik melibatkan lebih 800,000 ahli, dengan 300,000 daripadanya terdiri daripada mereka yang baru menyertai PKR sejak selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu. – 28 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen