KHALID Abu Bakar hanya mengetahui tentang berita kehilangan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat menerusi media, siasatan awam Suhakam diberitahu hari ini.
“Selepas mendengar berita, barulah saya tahu yang beliau hilang. Selepas mendapat tahu yang beliau hilang saya dimaklumkan bahawa ia adalah kes orang hilang,” katanya kepada siasatan hari ini.
Khalid diarah untuk memberi keterangan oleh Suhakam, yang sedang menyiasat mengenai kes kehilangan Amri yang hilang pada 24 November 2016.
Pada Mei, Isteri Amri, Norhayati Ariffin memberitahu siasatan bahawa Amri diawasi polis semasa kejadian penculikan itu berlaku, dan Khalid tahu mengenainya.
Khalid berkata selepas mengetahui mengenai kes itu, beliau diberi taklimat oleh pegawai dari ibu pejabat polis Perlis.
“Saya tidak ingat pegawai dari Perlis yang mana memberi taklimat kepada saya. Ia berlaku di utara. Tetapi kertas siasatan dibuka bagi menyiasat kehilangan beliau,” katanya.
Semasa siasatan, pegawai Suhakam bertanya kepada Khalid jika beliau tahu tentang pengawasan polis ke atas Amri, bekas ketua polis itu berkata beliau hanya tahu ia adalah kes orang hilang.
“Kes berkenaan hangat diperkatakan di media sosial dan saya diberi taklimat secara berkala berhubung kes berkenaan,” katanya.
Ketika ditanya oleh pegawai Suhakam sama ada beliau ada memberi arahan untuk menyiasat Amri, Khalid menjawab tidak. – 28 Ogos, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen