PAKAR ekonomi Dr Edmund Terence Gomez menggesa kerajaan Pakatan Harapan menubuhkan jawatankuasa kajian semula bagi menambah baik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang menurutnya menyuburkan budaya mengaut keuntungan atas angin (rent-seeking) dan naungan politik.
Gomez berkata dasar tindakan afirmatif disalahgunakan, menjejaskan kebangkitan syarikat keusahawanan, malah menyumbang kepada rasuah yang berleluasa, seperti dilihat dalam kes GLC yang berkaitan dengan badan berkanun seperti Felda, Mara dan Lembaga Tabung Haji.
“Kita perlu menyingkirkan dasar pemangsa daripada dasar yang progresif,” katanya pada majlis pelancaran laporan Malaysia GLC Monitor 2018 di Universiti Malaya, hari ini.
Gomez dalam pada itu turut merujuk kenyataan Dr Mahathir Mohamad menjelang pilihan raya 9 Mei lalu, yang menyifatkan GLC sebagai “raksasa”
“Mengapa tidak ada kajian semula dibuat terhadap perkara yang digelar Dr Mahathir sendiri sebagai raksasa?”
Menerusi GLC, pegangan saham dan pemilikan bersama, kerajaan mempunyai kepentingan ekuiti yang besar dalam 209 syarikat, hampir satu perempat daripada syarikat yang disenaraikan di papan Bursa KL.
Laporan berhubung GLC itu menerangkan mengenai trend campur tangan dalam syarikat awam sejak berdekad lalu, yang menyaksikan kerajaan mengambil alih syarikat swasta walaupun tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.
Objektif utama campur tangan ini adalah untuk memelihara syarikat swasta yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Bagaimanapun, pengambilalihan dalam sektor pembangunan hartanah dan pembinaan dikaitkan dengan amalan naungan politik oleh Umno, menurut laporan itu. – 28 Ogos, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen