Pembelian aset diserah kepada pakar tentera, bukan menteri, kata Mat Sabu


Kamles Kumar

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, pakar dalam tentera lebih tahu apa yang diperlukan dalam aset ketenteraan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2018

PEMBELIAN aset ketenteraan akan diserahkan kepada pasukan tentera yang “pakar” dalam bidang itu dan bukan kepada menteri, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini.

Ahli eksekutif kerajaan tidak tahu apa yang diperlukan untuk tentera, dan menyerahkan tugas itu kepada pihak tentera untuk menentukan sendiri perolehan bagi mengelakkan pembaziran dan penyelewengan, katanya.

“Saya akan rujuk kepada Tentera Udara, darat atau laut untuk mengetahui apa yang diperlukan kerana saya tidak tahu. Apa yang kita tidak tahu, kita tak boleh berlagak seperti kita tahu.

“Mereka yang pakar akan menentukannya (pembelian), manakala saya (eksekutif) akan tentukan dasar. Serahkan urusan pembelian kepada pakar,” katanya yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, ketika berucap pada pehimpunan bulanan kementerian itu di Kuala Lumpur hari ini.

Ini akan menghalang penyelewengan yang berleluasa dalam kementerian ini di bawah pentadbiran sebelum ini, kata Mohamad, yang juga presiden Amanah.

Mengekang penyelewengan dalam kementerian merupakan salah satu matlamatnya, kata menteri itu.

“Saya tidak boleh katakan ‘beli itu, jangan beli ini’ kerana saya akan dapat komisyen daripadanya.”

“Keutamaan saya adalah menambak baik pentadbiran perolehan dan kewangan jadi tidak akan ada lagi penyelewengan dan kelemahan dalam bidang ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga berkata, beliau turut mengarahkan Ketua Audit Negara Ambrin Buang untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat penyelewengan dalam kementerian pertahanan.

Skandal yang menyelubungi kementerian pertahanan termasuklah pembelian kontroversi helikopter Rusia dan kapal selam Scorpene.

Ia didedahkan pada 2008 bahawa syarikat milik Perancis DCNS dan Thales International Asia, yang mana kerajaan Malaysia membuat oembelian dua kapal selam Scorpene daripadanya dengan harga RM5 bilion pada 2002, telah membayar komisyen sebanyak RM570 juta.

Jumlah itu dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd yang dikawal Abdul Razak Baginda, iaitu orang yang rapat dengan Najib Razak, yang merupakan menteri pertahanan ketika pembelian itu dibuat.

Tiga warga Perancis yang dikaitkan dengan kes itu telah didakwa setakat ini. – 28 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen