TIGA pegawai tentera yang masih berkhidmat di bawah bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah ditugaskan kembali menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Mereka sudah kembali bertugas. Kami akan ambil tindakan (terhadap mereka),” kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada sidang akhbar hari ini.
ATM minggu lalu mengesahkan khidmat pengiring yang disediakan oleh pegawai pasukan khas untuk Hishammuddin tamat serta-merta selepas pilihan raya 9 Mei lalu.
Dalam satu kenyataan ATM berkata ia akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai tentera yang masih dalam tugas yang didapati menjalankan tugas lain.
Baru-baru ini, portal berita Malaysiakini melaporkan mengenai dua anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang komando masih menjadi pengiring kepada Hishammuddin, dan menerima dua gaji.
Hishammuddin berkata pegawai berkenaan berkhidmat untuknya buat sementara waktu dan beliau menawarkan untuk menggaji mereka secara sepenuh masa, kerana pegawai terbabit bertugas melindungi keluarganya sejak hari pertama beliau menjadi menteri pertahanan pada 2013.
Dua pegawai Paskal terbabit masih dalam perkhidmatan dan dijadualkan berkhidmat masing-masing sehingga 2020 dan 2021. – 28 Ogos, 2018.
Komen