Hukuman sebat 2 wanita Islam ditangguhkan Isnin


Sheridan Mahavera

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini menangguhkan hukuman sebat ke atas dua wanita yang mengaku berzina ke Isnin depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 Ogos, 2018.

DUA wanita Islam yang ditangkap kerana berzina di Terengganu tidak akan dihukum sebat hari ini selepas hukuman itu ditangguhkan pada 3 September, dalam prosiding yang didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini.

Hukuman itu yang dijadualkan hari ini, ditangguhkan susulan “sebab teknikal”, kata pendaftar mahkamah Nurul Huda Abdul Rahman.

Katanya, wujud isu yang belum selesai antara agensi yang menjalankan hukuman dan adalah lebih baik untuk ia ditangguhkan.

Beliau menasihatkan kedua-dua wanita yang hadir di mahkamah hari ini bersama ahli keluarga, untuk berada di mahkamah pada jam 10 pagi minggu depan, sebelum hukuman dijalankan.

Kedua-duanya berumur 32 dan 22 tahun, dijatuhi hukuman enam kali rotan selepas mengaku bersalah melakukan zina di dalam kereta di Dungun pada 8 April lalu.

Kes itu mendapat perhatian ramai kerana ia antara insiden paling jarang berlaku membabitkan pasangan sama jantina yang didakwa di bawah sistem mahkamah syariah.

Beratnya hukuman itu dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kerana dianggap “kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina”.

Pembela hukuman itu menekankan ia dijalankan mengikut syariah di mana hukumannya lebih ringan berbanding di bawah kanun keseksaan.

Kedua-dua tertuduh turut didenda RM3,300 setiap seorang di bawah Seksyen 30 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (2001) kerana musahaqah (hubungan seksual sesama perempuan).

Kesalahan itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000, tiga tahun penjara dan enam sebatan.

Menurut laporan Sinar Harian sebelum ini, kedua-dua tertuduh ditahan di dalam sebuah kereta di dataran Arena Merdeka di Dungun, Terengganu. – 28 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen