PENERIMA wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berkata mereka mahu kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) meneruskan program itu yang membantu keluarga berpendapatan rendah dalam menghadapi keadaan ekonomi semakin mencabar.
“Kerajaan tidak patut mansuhkan BR1M. Kami undi ubah kerajaan untuk melindungi kepentingan rakyat,” kata Norlela Ismail, 59, seorang ibu tunggal dari Johor Baru yang menerima RM1,200 setiap tahun.
Norlela, yang meyakinkan rakannya untuk mengundi PH pada PRU14, berkata beliau kecewa dengan keputusan kerajaan baharu itu sejak mengambil alih Putrajaya.
“Sekarang semuanya kecoh. Rakyat tidak dilindungi, janji tidak dipenuhi. Hak rakyat diambil balik.”
Katanya, bayaran BR1M itu membantunya mencukupkan perbelanjaan isi rumah, terutama ketika perniagaan jualan kuihnya agak perlahan.
“Saya harapan kerajaan tidak memansuhkannya. Jika saya terpaksa pergi temu bual untuk kerajaan periksa kelayakan saya menerima bantuan itu, saya tidak kisah,” katanya.
Hasnah Ibrahim, 67, berkata bantuan BR1M banyak membantu keluarganya ketika perniagaannya di gerai makannya tidak begitu menguntungkan.
Penduduk Butterworth, Pulau Pinang itu menerima bantuan berkenaan sejak 2012.
“Saya tinggal bersama anak lelaki, menantu dan empat cucu di rumah pangsa. Dengan kami tujuh orang, wang BR1M itu ada juga membantu. Kami guna untuk beli makanan.
“Tidak mengapalah jika kerajaan tidak mampu untuk beri lebih. Saya tahu negara sekarang hutangnya banyak. Tetapi masih ramai orang yang memerlukan bantuan itu,” katanya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan bahawa Putrajaya akan secara perlahan-lahan mengurangkan bayaran BR1M sebelum memansuhkannya, berkata program pemberian wang tunai yang diperkenalkan bekas perdana menteri Najib Razak itu “memanjakan” rakyat.
BR1M diperkenalkan pada 2012 dan jumlahnya dinaikkan setiap tahun, kecuali tahun ini.
Isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan akan menerima RM1,200, sementara isi rumah dengan pendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 menerima RM900.
Mereka yang tidak ada tanggungan atau bujang dan berpendapatan RM2,000 ke bawah akan terus menerima RM450. Secara keseluruhan RM6.8 bilion diperuntukkan dalam bajet tahun ini untuk 7.2 juta penerima.

Seorang tentera yang enggan dikenali berkata kerajaan sepatutnya memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak saja menerima BR1M, bukannya memansuhkan terus program itu.
“BR1M banyak membantu saya dan isteri, yang tidak bekerja. Bantuan itu sangat membantu bagi keluarga yang susah,” katanya yang berusia 25 tahun.
“Jika perlu, kerajaan boleh menyemak jika ada penerima yang benar-benar layak dibantu atau tidak. Mungkin ada yang tidak layak dibantu.
“Tetapi bagaimana dengan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan itu? Kita perlu fikir tentang mereka.”
Pesara Sam Yee, 70, dari Pulau Pinang, berkata rancangan untuk memansuhkan BR1M amat mengecewakan.
Katanya, beliau sudah menjangka Dr Mahathir akhirnya akan membatalkan program itu kerana sekian lama mengkritik bantuan yang diperkenalkan oleh Najib itu.
“Beliau mengkritik Najib beri BR1M. Jadi sekarang beliau kembali dalam kerajaan, sudah pasti akan dimansuhkannya,” katanya.
Yee berkata harga barang dijangka akan terus meningkat, maka kerajaan sepatutnya cuba meringankan beban golongan warga emas dan berpendapatan rendah, dengan sekurang-kurangnya ubat diberikan secara percuma untuk pesara kakitangan awam.
“Sekarang jika ubat terlalu mahal, hospital akan minta anda beli sendiri dulu dan kemudian buat tuntutan ke jabatan pencen.
“Dengan BR1M, sekurang-kurangnya saya ada wang lebih untuk beli ubat,” katanya. – 28 Ogos, 2018.
Komen