PEMIMPIN Umno hari ini tidak menganggap kerugian syarikat pelaburan negara 1MDB sebagai satu kesalahan yang perlu ditanggung parti itu dan berkata ia hanyalah wang.
Ketua Umno Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata, pengkritik utama dalam skandal 1MDB, Dr Mahathir Mohamad juga mengalami kerugian besar ketika kerajaan di bawah pentadbirannya.
“Projek meganya seperti Proton dan lain-lain turut menanggung kerugian, tapi kita tidak menggesanya untuk letak jawatan tetapi terus selesaikan masalah itu. Ia hanya wang,” katanya yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani.
Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas 22 tahun dan melantik Abdullah Badawi. Najib Razak kemudiannya mengambil alih sebagai perdana menteri pada 2009, atas nasihat Dr Mahathir.
Tajuddin juga berkata, siasatan 1MDB masih belum tamat kerana kerajaan masih memburu dalangnya.
“Jangan hancurkan rumah orang Melayu (Umno). Ke mana mereka nak tuju untuk minta bantuan?” katanya.
Tajuddin berkata untuk BN tidak akan terjejas dengan isu Felda Global Ventures (FGV) kerana kerajaan masih belum mainkan peranan untuk selamatkan syarikat itu daripada masalah.
“Kerajaan bukan duduk sahaja dan tidak buat apa-apa. Tindakan sudah diambil. Malah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) juga menjalankan siastaan ke atas FGV,” katanya dan menambah tindakan sama turut dibuat ke atas Felda Investment Corporation Sdn Bhd.
“Perdana menteri juga mengumumkan banyak insentif untuk mengurangkan beban peneroka Felda, jadi saya rasa ia kan menjejaskan undi BN,” katanya. – 30 Julai, 2017.
Komen