BEKAS Perdana Menteri Najib Razak hari ini disoal siasat oleh Bukit Aman di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 berhubung siasatan kes 1MDB.
Menurut sumber, Najib tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Menara 238 di Jalan Tun Razak pada kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Kata sumber itu lagi, proses soal siasat itu memakan masa selama satu jam.
Najib menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Amla 2001 pada awal bulan ini berkaitan RM42 juta daripada SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Tiga deposit - masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta didapati dimasukkan ke dalam akaun AmIslamic Bank antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.
Terdahulu, dilaporkan 16 barangan termasuk barang kemas, wang tunai, mata wang asing da beg tangan mewah dirampas daripada enam premis yang dikaitkan dengan ahli Parlimen Pekan itu, disiasat dibawah Amla 2001. – 27 Ogos, 2018.
Komen