Undang-undang pencegahan bolehkan tindakan awal diambil, kata polis mengenai Sosma


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Sosma membolehkan pihak polis bertindak awal dalam mengekang keganasan di negara ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2018

UNDANG-undang anti-keganasan di Malaysia membolehkan pihak polis bertindak ke atas suspek pengganas pada peringkat awal, sekali gus mengelakkan tragedi, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob berkata demikian ketika mengulas berhubung cadangan Putrajaya untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk melindungi hak asasi manusia. 

Beliau turut menafikan Sosma digunakan untuk pencabulan hak asasi manusia tetapi ia merupakan undang-undang yang berkesan mengekang keganasan di negara ini. 

“Dengan Sosma, ia membolehkan kami bertindak pada peringkat awal, tindakan awal boleh diambil untuk mencegah sebarang kegiatan keganasan. Itu yang Sosma berikan,” katanya. 

“Apabila kamu merancang (kegiatan keganasan), kami boleh menahan kamu, apabila kamu pulang dari Syria (selepas latihan keganasan), kami boleh menahan kamu, apabila kamu merancang untuk ke Syria kami boleh menahan kamu. 

“Tidak seperti negara lain, mereka tidak boeh bertindak dan apabila mereka memutuskan untuk bertindak, biasanya sudah terlambat.”

Ayub kemudian merujuk kepada lapan rakyat Malaysia yang kembali ke negara ini baru-baru ini selepas menjalani latihan keganasan di Syria.

“Kita tahan mereka di lapangan terbang, dakwa mereka dan kini mereka di penjara. 

“Kita bertuah kerana memiiki undang-undang kuat sebegini,” kata Ayub pada sidang media pada Simposium Antarabangsa Counter Terrorism dan Profesional Keselamatan (IACSP) di Kuala Lumpur hari ini. 

Ayub turut menolak dakwaan Sosma disalahgunakan untuk mendera tahanan dan merujuk kepada Indonesia sebagai contoh di mana negara berkenaan membenarkan polis menahan suspek sehingga 260 hari tanpa bicara. 

Beliau berkata, penahanan tanpa bicara tidak wujud dan menyatakan daripada 420 yang ditahan di bawah Sosma, 185 didakwa, 148 disabitkan kesalahan, 33 ditahan di bawah Poca (Akta Pencegahan Jenayah) manakala 47 ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

Tambah Ayob, 42 tahanan dihantar pulang ke negara asal manakala 100 lagi suspek dibebaskan. 

“Undang-undang ini dikuatkuasakan seajarnya jika kamu lihat pada statistik,” katanya. 

Ayob bagaimanapun menegaskan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti bahagian counter-terrorism akan mematuhi apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kerajaan. 

“Kami merupakan agensi penguatkuasaan undang-undang. Kami akan patuhi keputusan kerajaan. 

“Adakah saya tidak bersetuju? Saya tidak mahu ulas tetapi seperti ketika ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dimansuhkan, pada awalnya kita berdepan masalah, tetapi lama kelamaan, kami dapat menyesuaikan dan mencari jalan penyelesaian.

“Kami akan cari jalan kali ini,” kata Ayob. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin semalam berkata beliau secara peribadinya menyokong cadangan untuk memansuhkan Sosma kerana ia merupakan “satu bentuk kezaliman”. Beliau juga berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji isu Sosma. 

Hanipa bercakap kepada pemberita selepas melawat tahanan Sosma dan keluarga mereka di penjara Sungai Buloh di mana tahanan melancarkan mogok lapar yang kemudiannnya dihentikan.

Peguam Negara Tommy Thomas sebelum ini berkata, Sosma akan dimansuhkan sebagaimana yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan, tetapi ia akan mengambil sedikit masa. – 27 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen