JABATAN Imigresen telah diminta supaya mengemukakan senarai suspek mereka bagi menentukan sama ada Pastor Raymond Koh dan isterinya, Susanna Liew disoal siasat oleh pihak berkuasa apabila ke luar negara.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Mah Weng Kwai hari ini membuat permintaan tersebut semasa siasatan awam mengenai Koh dan tiga lagi individu yang hilang sejak 2016.
Mah meminta Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Hamid Momong yang memberi keterangan hari ini, supaya memeriksa sama ada Koh dan Liew berada dalam senarai suspek mana-mana agensi kerajaan.
Permintaan Mah itu berikutan peguam-peguam yang mewakili Koh ingin mengetahui jika Jabatan Imigresen telah berhenti dan merekod kenyataan Koh dan isterinya di pintu keluar negara apabila diminta oleh pihak berkuasa.
Hamid berkata kemungkinan mereka dihalang dan disoal atas permintaan pihak berkuasa.
“Tak semua kenyataan suspek direkodkan.
“Ada yang direkod tetapi ada yang disoal secara lisan. Jadi kami mungkin tidak ada rekod,” katanya.
Ahli Majlis Peguam Andrew Wong kemudian bertanya jika Imigresen mempunyai senarai suspek bagi yang mahu ke luar negara.
Hamid berkata mereka mempunyai senarai suspek bagi mereka yang akan disoal sebelum meninggalkan negara.
Peguam keluarga Koh, Philip Koh kemudian bertanya kepada Hamid sama ada jabatan agama memberi sebarang senarai suspek kepada Imigresen.
Jawab Hamid, beliau ada mendengar bahawa mahkamah syariah membuat permintaan itu (bagi kes lain) tetapi beliau tidak pasti mengenainya.
“Senarai suspek biasanya diberi oleh polis, Kementerian Dalam Negeri, Imigresen dan agensi lain,” katanya.
Peguam Koh kemudian terus bertanya sama ada mereka boleh mendapatkan rekod mengenai Koh dan Liew untuk melihat jika pasangan itu dihalang dan disoal. Pertanyaan ini juga disokong oleh Pesuruhjaya Mah.
Hamid berkata beliau akan membuat semakan dan mendapatkan senarai tersebut. – 27 Ogos, 2018.
Komen