ENAM syarikat yang dianugerahkan konsesi 20 tahun bagi menyelenggara loji rawatan air di seluruh Sabah kini dibawah pemerhatian Jabatan Air negeri.
Kontrak tersebut dianugerahkan kepada 58 syarikat semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Peter Anthony.
Beliau berkata kontrak tersebut berat sebelah kerana syarikat-syarikat itu tidak perlu mengeluarkan wang bagi liabiliti melebihi RM5,000 dan perbelanjaan tambahan bagi premis, peralatan, pam dan kos lain yang melebihi jumlah itu semuanya ditanggung oleh kerajaan negeri.
Syarikat-syarikat itu juga memperoleh pendapatan sebanyak RM186 juta setahun.
“Kita sedang mengkaji semula kontrak mereka, tetapi apa yang saya tidak faham ialah bagaimana kerajaan terdahulu boleh membuat perjanjian yang jelas sekali berat kepada pemegang konsesi.
“Piawaian pasaran semasa bagi liabiliti kontraktor sepatutnya melebihi RM30,000 atau RM50,000 bagi satu peralatan.
“Tetapi apabila mereka diberi RM5,000, jelas sekali ianya berat sebelah dan membazirkan wang pembayar cukai jika kerajaan Sabah perlu menampung kos RM3.2 bilion,” beliau memberitahu pemberita pada satu sidang akhbar khas di Kota Kinabalu hari ini.
Anthony juga berkata sebagai pembaharuan dalam Jabatan Air Sabah, kontrak mereka boleh ditamatkan.
Jabatan itu sebelum ini sudahpun dipalit dengan skandal “Sabah Watergate” yang melibatkan dana yang disalahgunakan oleh bekas ketuanya. – 27 Ogos, 2018.
Komen