'Parti bunga' yakin mampu rampas Putrajaya, kata Tajuddin


Muzliza Mustafa

Dr Mahathir tidak akan membazirkan tenaga pada usianya sekiranya dia tidak yakin untuk tumbangkan kerajaan Barisan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2017.

USAHA Dr Mahathir dan pemimpin Bersatu untuk mendapatkan undi Melayu di kubu kuat Umno tidak boleh dipandang ringan, kata pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman hari ini.

Tajuddin yang juga ketua Umno Bahagian Pasir Salak berkata Dr Mahathir tidak akan membazirkan tenaga pada usianya sekiranya dia tidak yakin untuk tumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

“Pakatan yakin mampu tumbangkan BN. Jika tidak, Dr Mahathir, Muhyiddin (Yassin) dan Mukhriz Mahathir tidak akan bersungguh-sungguh.

“Dr Mahathir bukan seorang yang suka bazirkan masa dan tenaga jika dia tidak yakin,” kata Tajuddin.

Bercakap kepada di hadapan ahli Umno Batu Kawan, hari ini Tajuddin turut memberi amaran sekiranya pembangkang menang, parti yang akan menggantikan BN bukan lagi parti yang didominasi orang Melayu.

“Dalam BN, Umno ialah penggerak utama dalam kerajaan. Walaupun kita ada MIC dan MCA, mereka tidak mengganggu keputusan yang dibuat bila membabitkan Melayu dan agama. Mereka tidak membantah,” katanya.

Katanya dalam usaha untuk kekalkan kuasa, Malaysia perlu berhenti mengundi pembangkang kerana undi itu hanya akan menguatkan parti rasis DAP.

“Bercakap mengenai pembangkang, “Parti Bunga” (Bersatu), PKR , Amanah dan DAP walaupun anda undi parti lain, undi itu hanya akan memperkuatkan DAP,” katanya.  

Di Pulau Pinang katanya, walaupun sukar untuk merampas kembali negeri itu daripada DAP, Umno perlu terus bekerja keras pada pilihan raya akan datang.

Dia turut menasihatkan Umno bahagian untuk mula mendekati rakyat dan tidan hanya menunggu hari pilihan raya.

“Projek sudah diberikan, tapi saya sedar ada beberapa bahagian yang hanya mulakan khidmat masyarakat bila hampir pilihan raya. Kita tidak mahu rakyat menganggap Umno dan khidmat masyarakat hanya bermusim. Itu sebabnya mereka berpendapat kita tidak lagi relevan. Kita tidak mahu itu,” katanya. – 30 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen