Shafie pemimpin gila kuasa, kata Musa


Jason Santos

Ketua Perhubungan Umno Sabah, Musa Aman mendakwa Shafie Apdal pemimpin yang gilakan kuasa. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Julai, 2017.

SERANGAN Shafie Apdal kepada Umno, bekas partinya, disebabkan kecewa kerana tidak lagi mampu memegang kuasa, kata Ketua Perhubungan Umno Sabah, Musa Aman.

Katanya, presiden Parti Warisan Sabah itu sentiasa dahagakan kuasa, walaupun, sudah menjadi menteri peringkat persekutuan dan naib presiden Umno ketika itu.

“Sudah ada jawatan di peringkat pusat, dan berjuta diperuntukkan untuk kementeriannya, mengapa sekarang baru ke hulu hilir menjanjikan pelbagai bantuan? Kenapa tak buat masa ada kuasa?” tanyanya.

“Semuanya kerana tamak dan gila kuasa,” kata Musa pada mesyuarat Perwakilan Umno Tuaran hari ini.

Turut hadir ialah ketua bahagian dan cawangan Umno termasuk Ketua Bahagian Umno Tuaran, Hajiji Hj Noor.

Minggu lepas, adik Musa, Menteri Luar Anifah Aman menggelarkan Shafie sebagai pengkhianat Umno dan boleh mengkhianati rakan lain sekiranya kembali berkuasa.

Musa tidak menjelaskan apa yang disifatkannya sebagai Shafie “ gila kuasa” tetapi dia mungkin merujuk kepada khabar angin yang bekas pemimpin Umno itu pernah dikatakan mahukan jawatan ketua menteri yang disandang Musa.

Tetapi pemecatannya daripada kementerian pembangunan luar bandar dan wilayah pada 2015 yang membawa kepada keluarnya Shafie daripada Umno tahun lepas menyebabkan usaha mendaki tangga politik terbantut, kata Musa.

“Sekarang dia pergi merata-rata membuat fitnah terhadap bekas partinya, menabur janji di mana-mana,” kata Musa, menegaskan yang Shafie masih mengejar kuasa.

Musa juga mendedahkan yang Shafie tidak pernah berunding dengan kerajaan negeri untuk menyediakan bantuan melalui peruntukan kementeriannya dahulu.

Sebaliknya, Shafie meluluskan projek seperti lampu isyarat di jalan atau bekalan air terawat tanpa pengetahuan kerajaan negeri sehinggakan ada projek itu akhirnya menjadi sia-sia seperti projek yang diluluskan di Nabawan, Tenom dan Tongod.

“Apa guna letak lampu jalan di sini, tapi tiada kuasa untuk nyalakan pada malam hari,” kata Musa.

Katanya tindakan Shafie tidak membuktikan dia berminat membantu orang Sabah yang memerlukan, berbanding dengan menteri lain di Semenanjung yang bersunguh membantu dan berunding dengan negeri masing-masing dalam semua perkara.

Mengenai Pakatan Harapan, Musa berkata tidak guna menyokong pakatan yang tunggang langgang, apabila isu seperti siapa bakal dilantik menjadi perdana menteri sekiranya menang pun tidak boleh diselesaikan.

“Tetapi Barisan Nasional (BN) ada rekod kerja yang jelas dan sentiasa mencari cara untuk menyelesaikan masalah bila timbul.

“Lagipun, pemimpin semua parti komponen tidak dilatih untuk jadi gila kuasa,” kata Musa mendedahkan yang semua pemimpin BN menyedari Umno ialah parti utama BN.

Sebelum itu, Hajiji yang juga merupakan menteri kerajaan tempatan dan perumahan Sabah berkata yang Umno Tuaran meluluskan resolusi untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Musa untuk terus menjadi ketua menteri dan pemimpin Umno Sabah. – 30 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen