POLIS mengadakan sekatan jalan raya ke perkampungan Orang Asli di pedalaman Gua Musang di Kelantan, menunjukkan mereka mula menjalankan operasi untuk memusnahkan sekatan yang dibuat oleh aktivis.
Sekatan berkenaan dibuat dalam jarak kira-kira 10 minit perjalanan dari kampung Kuala Betis disertai kira-kira 10 orang anggota polis. Ini merupakan kali pertama anggota polis dilihat berada di laluan ke sekatan sejak ia dibina pada Februari.
Jalan yang membawa kepada hutan di Ulu Kelantan dari Gua Musang di mana aktivis dari suku Temiar membina empat sekatan sejak tujuh bulan lalu bagi menghalang pembalak dan peladang daripada menceroboh tanah adat mereka.
Pagi ini, polis memeriksa semua kenderaan yang melalui jalan berkenaan. The Malaysian Insight dibenarkan masuk selepas memperkenalkan diri sebagai petugas media dari Kuala Lumpur.
Dua hari lalu, aktivis daripada Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) berkata, polis telah memberi amaran kepada mereka bahawa pihak berkuasa akan memusnahkan sekatan itu sekiranya mereka tidak merobohkannya hujung minggu ini.

Aktivis berkenaan terlibat dalam pertikaian dengan pembalak dan peladang berhubung hak tanah di hutan berkenaan yang didakwa masyarakat Orang Asli sebagai tanah adat mereka.
Pertikaian itu membawa kepada sekatan dan konfrontasi antara aktivis, pembalak dan peladang kepada akses untuk ke hutan di Ulu Kelantan itu.
Aktivis JKOAK membina tiga sekatan di Cawas, Kaleg dan Kegeg bagi menghalang pembalak dan peladang daripada memasuki hutan simpan Perias, Balah dan Gunung Stong.
JKOAK mendakwa pembalak dan syarikat peladangan telah memusnahkan tanah mereka, yang menjadi sumber makanan, bekalan air bersih, ubat-ubatan dan amat penting kepada identiti dan agama mereka.
Namun terdapat beberapa ketua suku Temiar yang menentang sekatan itu dan menyerahkan petisyen kepada kerajaan dan polis untuk mengalihkannya.
Masalah berkenaan timbul selepas kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf tuntutan suku Temiar terhadap tanah adat di Gua Musang, dan membenarkan ia dicerobih oleh pihak luar.
Putrajaya memulakan perbincangan dengan kerajaan Kelantan dan Orang Asli bagi menyelesaikan tuntutan antara peladang, kerajaan negeri dan masyarakat Orang Asli terbabit. – 27 Ogos, 2018
Komen