BEKAS pengerusi perhubungan Umno Pulau Pinang Zainal Abidin Osman meninggal dunia awal pagi ini di Hospital Ampang.
Zainal meninggal dunia kira-kira jam 2.07 pagi tadi akibat kanser darah (multiple myeloma).
Adiknya, Yaakob Osman berkata, Zainal menghembuskan nafas terakhir selepas tiga minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Ampang.
“Jenazahnya akan dibawa pulang ke Pulau Pinang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Sungai Acheh di Nibong Tebal selepas solat Asar hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi mesej WhatsApp.
Zainal Abidin, 58, meninggalkan balu Nur Syafiqa Amirol Melvin dan enam cahaya mata. Empat daripada anaknya merupakan daripada perkahwinan pertama dengan Shazarina Shamsuddin, yang juga meninggal dunia akibat kanser pada Disember 2010.
Terkenal dengan panggilan “Tok Non”, Zainal Abidin pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah daripada 2006 hingga Mac 2008.
Beliau juga merupakan bekas penasihat khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan pengerusi JKP Sdn Bhd, yang merupakan sebuah agensi kerajaan. – 27 Ogos, 2018
Komen