LANGSUNG: 7 bulan tangguh, siasatan Suhakam kehilangan Pastor Koh bersambung semula


Noel Achariam

Isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew berkata beliau mahu kerajaan baharu menjejaki siapa yang bertanggungjawab terhadap penculikan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2018.

SIASATAN awam mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh bersambung semula hari ini selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menamatkan penangguhan kes itu pada Januari lalu.

Keluarga Koh berharap siasatan awam itu akan memberi jawapan kepada kehilangannya sejak tahun lalu.

Mereka juga berharap kerajaan baharu akan memandang nasib mereka dengan lebih serius dan memberikan penamat untuk kes itu.

Susanna Liew, isteri Koh berkata beliau mahu kerajaan menjejaki siapa yang bertanggungjawab terhadap penculikan itu.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insight minggu lalu, beliau berkata ketika kerajaan sibuk membetulkan Malaysia yang sarat hutang, mereka juga tidak sepatutnya hilang fokus dalam mencari suaminya.

Siasatan awam kehilangan Koh ditangguhkan pada 16 Januari apabila polis berkata mereka sudah mendakwa seorang pemandu Uber, Lam Chang Nam atas tuduhan menculik pastor itu.

Polis menggunakan Seksyen 12(3) Akta Suhakam 1999 yang menyatakan jika subjek siasatan berkenaan didengar di mahkamah, suruhanjaya itu perlu serta-merta menghentikan siasatan awam.

Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh kira-kira 15 lelaki yang menaiki tiga kenderaan SUV berwarna hitam.

Penculikan itu dirakamkan oleh CCTV dan disifatkan sebagai operasi yang tersusun.

Siasatan awam pagi ini akan bersambung semula dengan siasatan tentang kes kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat.

Seorang pegawai Cawangan Khas dari Pulapol, Inspektor Mohd Azizie dijangka memberi keterangan.

Siasatan awam Suhakam itu diadakan bagi memastikan sama ada kehilangan Koh, Amri dan Pastor Joshua serta isterinya Ruth Hilmy pada 2016, adalah kehilangan dipaksa oleh kerajaan, atau tidak. – 27 Ogos, 2018.

The Malaysian Insight akan membawakan prosiding itu secara langsung:

1.15pm: Ahli Majlis Peguam Andrew Wong bertanya adakah imigresen mempunyai senarai suspek untuk mereka yang keluar dari negara ini.

Hamid berkata mereka ada senarai suspek mereka yang pernah disoal siasat sebelum keluar dari negara.

Katanya, senarai suspek biasanya diberikan oleh polis, Kementerian Dalam Negeri dan agensi lain.

Wong bertanya adakah mereka boleh mendapat maklumat sama ada Koh dan isterinya Susanna Liew berada dalam senarai itu.

Hamid berkata beliau akan membuat pemeriksaan dan mendapatkan senarai itu.

Peguam keluarga Koh, Philip Koh berkata pastor itu ditahan dari ke luar negara dan disoal siasat sembilan kali sementara Liew ditahan tujuh kali dari 2011 hingga 2012.

Siasatan itu bersambung esok.

1.05pm: Siasatan awam memulakan kes Pastor Raymond Koh dengan memanggil saksi pembantu timbalan pengarah Jabatan Imigresen Hamid Momong.

Pegawai Suhakam bertanya bahagian mana beliau bertugas.

Hamid berkata beliau bertugas di bahagian keselamatan dan pasport sejak 2016.

Pegawai Suhakam bertanya tentang pergerakan Koh di dalam dan luar negara bagi tempoh enam tahun lalu.

Hamid berkata mereka ada rekod pergerakan Koh dari 2011 hingga 2017.

Namun, tiada rekod beliau meninggalkan negara pada 2012.

Katanya, Koh sering berjalan pada 2014 dan 2015 dengan purata tiga kali sebulan.

Hamid berkata pada 2016, Koh secara purata melakukan perjalanan sebulan sekali dan 2017 hanya dua kali.

12.40pm: Pemerhati polis mohon kepada panel jika mereka boleh memanggil pegawai Suhakam Nur Adlin sebagai saksi untuk kes Amri.

Alasannya ialah mereka mahu bertanya tentang perbualan antara Shamzaini tentang Parid Audio yang memberi keterangan pada awal siasatan awam itu.

Pegawai Suhakam membantah dan berkata menurut Seksyen 14 Akta Suhakam 1999 bukti boleh didapatkan atau memanggil mana-mana saksi yang dianggap perlu.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata permohonan polis ditolak atas alasan Nur Adlin ialah pegawai kes dan Seksyen 14 menyatakan ia memberikan kuasa untuk mengambil keterangan.

Mah berkata tidak ada salahnya di bahagian Nur Adlin dan jika beliau memberi keterangan ia tidak akan membantu siasatan awam itu.

Katanya, semua keterangan adalah sulit.

11.10am: Panel bertanya Faisol bagaimana beliau dapat nombor telefon Shamzaini.

Faisol berkata beliau tidak boleh dedahkan siapa yang member ombor berkenaan dan beliau tidak mahu individu terbabit diganggu. 

Pemerhati polis menyoal Faisol, berdasarkan keterangan Shamzaini, adalah beliau bercakap benar. 

Faisol berkata, beliau agak yakin Shamzaini tidak bercakap benar. 

Polis bertanya Faisol mengapa beliau menghantar mesej kepada Shamzaini pada hari memberi keterangan. 

Polis bertanya sama ada beliau menghantar mesej untuk berikan tekanan kepada Shamzaini dan itu sebabnya pada kali kedua hadir untuk beri keterangan belaiu mahu bersumpah dengan Quran. 

Faisol kata tidak. 

Polis bertanya Faisol dengan menghubungi Shamzaini ia adalah satu ugutan kepada saksi. 

Faisol kata tidak. 

Siasatan berehat seketika. 

10.45am: Inkuiri memanggil Ketua PKR Perlis Mohd Faisol Abd Rahman.

Pemerhati polis bertanya adakah Faisol mengetahui bahawa Shamzaini ialah saksi dalam siasatan awam Suhakam itu.

Faisol berkata tahu.

Polis bertanya Faisol adakah beliau tahu Shamzaini datang pada 16 Mei untuk memberikan keterangan kepada siasatan itu.

Faisol berkata tahu.

Polis bertanya tentang pesanan Whats App yang dihantarnya kepada Shamzaini.

Faisol berkata beliau menghantar pesanan itu sebagai peringatan bahawa beliau perlu bercakap benar dan ia bukan satu ugutan.

Katanya, beliau turut beritahu kepada Norhayati supaya bercakap benar.

Faisol berkata mesej pesanan itu bukan untuk mengugut sesiapa tetapi hanya minta mereka bercakap benar.

10.35am: Panel bertanya Norhashimah adakah beliau sering berhubung dan berbual di telefon.

Beliau menjawab mereka jarang berbual.

Panel bertanya jika mereka jarang berbual mengapa Shamzaini menghubunginya dan bercakap selama 40 minit.

Norhashimah berkata adalah normal untuk ahli keluarga berbual panjang.

Panel bertanya adakah mereka bercakap tentang Amri dan beliau menjawab tidak.

10.20am: Pegawai Suhakam bertanya kepada Norhashimah bila Shamzaini membuka bengkelnya.

Beliau berkata pada awal tahun ini.

Pegawai itu kemudian memberitahunya bahawa Shamzaini dalam keterangannya berkata membuka bengkel itu pada 2014.

Norhashimah berkata beliau ada dengar tentang Shamzaini buka bengkel itu tetapi tidak tahu tarikhnya.

Katanya, beliau tidak begitu tahu tentang perniagaan bengkel itu.

Pegawai itu kemudian bertanya jika beliau tidak begitu berminat dengan bengkel itu, mengapa Shamzaini memberitahunya tentang bengkel berkenaan.

Norhashimah berkata ini kali pertama Shamzaini menghubunginya untuk bercakap tentang bengkel itu.

10.15am: Siasatan awam itu kemudian memanggil Norhashimah Mohd Daud, kakak kepada Sarjan Shamzaini, pegawai Cawangan Khas yang memberi maklumat.

Panel memintanya memberitahu pekerjaan dan tempat tinggal.

Norhashimah berkata beliau tinggal di Alor Setar, Kedah dan bekerja sebagai guru.

Peguam keluarga Amri, Larissa Anne Louis bertanya kepada Norhashimah, adakah beliau berbual selama 40 minit dengan Shamzaini pada 12 Mei, 2018.

Louis bertanya apa isi perbualan itu dan adakah ia tentang Amri.

Norhashimah berkata mereka bercakap tentang Shamzaimi mahu buka bengkel mekanik di Perlis.

Katanya, beliau tidak tahu apa-apa tentang Amri.

Louis bertanya adakah beliau beri nasihat kepada Shamzaini tentang Amri.

Norhashimah berkata tidak tahu apa-apa tentang kes Amri.  

9.55am: Pegawai Suhakam tanya Azizie adakah Saiful beri penjelasan kenapa ambil cuti.

Azizie berkata Saiful beritahunya dia mahu menghabiskan masa bersama keluarga.

Panel kemudian minta Azizie sahkan sama ada Saiful bekerja atau tidak pada 24 November, 2016.

Azizie berkata ya beliau ada di sana.

Panel bertanya adakah Saiful bekerja di lapangan, kemudian dijawab tidak.

Peguam keluarga Amri kemudian bertanya Azizie berkenaan rekodnya menandakan Saiful tidak bekerja pada 31 April tetapi April hanya ada 30 hari.

Azizie berkata itu bukan dokumen rasmi tetapi untuk rekodnya saja dan tanda tarikh 31 April itu kesilapan yang tidak disengajakan.

9.40am: Pegawai Suhakam minta Azizie menjelaskan tentang dokumen itu.

Azizie berkata kawasan bertanda X di dokumen itu ialah hari Saiful mohon cuti.

Katanya, Saiful juga mendapat 24 hari cuti tahunan setahun.

Panel kemudian bertanya Azizie kenapa terdapat 54 hari ditandakan cuti di dalam buku itu.

Azizie kemudian menjelaskan ia termasuk cuti Sabtu dan Ahad.

9.30am: Siasatan awam Suhakam terhadap kehilangan Amri Che Mat bersambung dengan keterangan Inspektor Mohd Azizie, pegawai Cawangan Khas dari Pulapol, yang juga penyelia Saiful Bahari, pemilik kenderaan Toyota Vios PFC1623.

Pegawai Suhakam minta Azizie mendedahkan tentang rekod kerja Saiful di mana beliau berada di Pulapol ketika kehilangan Amri.

Azizie kemudian menunjukkan beberapa dokumen kepada panel Suhakam.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen