BN boleh audit akaun kerajaan, kata Mat Sabu


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hadir majlis rumah terbuka Aidil Adha Bersatu di Klang, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Ogos, 2018.

PARTI pembangkang Barisan Nasional (BN) akan dibenarkan mengaudit akaun kerajaan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam menjelaskan tentang perubahan yang sedang berlaku di Putrajaya.

Bercakap pada majlis rumah terbuka Aidil Adha Bersatu malam tadi, presiden Amanah itu berkata buat pertama kalinya, menteri dan timbalan menteri bersama ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan mengisytiharkan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami sedang mengubah cara yang selama ini digunakan, untuk pertama kali kami akan biar pembangkang audit akaun dan lantik seseorang daripada BN mengetuai PAC.

“Kami akan isytihar aset kepada SPRM.

“Menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen akan perlu isytihar kepada SPRM, tidak seperti sebelum ini iaitu pengisytiharan hanya dibuat oleh perdana menteri. Ini perubahan terbesar yang kali lakukan dalam 100 hari pertama mentadbir,” katanya yang lebih popular digelar Mat Sabu, di hadapan ahli Bersatu di Klang.

Bekas timbalan presiden PAS itu turut meluahkan keyakinannya terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang mampu memulihkan ekonomi negara, sama seperti dilakukannya ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

“Kami akui ketika mengambil alih negara, status kewangan sangat berat. Kami tidak mahu menyembunyikan hutang RM1 trilion itu.

“Tetapi saya yakin dengan menteri kewangan kita yang berjaya menukar Pulau Pinang menjadi negeri dengan tahap kewangan kukuh, beliau boleh lakukan yang sama untuk Malaysia.

“Ini yang dipanggil Malaysia baharu di bawah PH. Kami janji untuk bekerja keras kerana kami belum ada banyak pengalaman mentadbir negara,” katanya di hadapan kira-kira 200 penyokong Bersatu.

Mat Sabu berkata bukan mudah untuknya mengubah sikapnya sebagai bekas orang pembangkang kepada menteri pro kerajaan.

“Susah hendak hilangkan tabiat lama. Dr Mahathir gesa kami, menteri supaya jangan berfikiran seperti pembangkang, tetapi 40 tahun bukan masa yang sekejap.

“Ia terlalu lama. Untuk jadi orang pro kerajaan, kadangkala saya rasa kekok,” katanya. – 27 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen