Ambil kira pengalaman Azmin, kata akar umbi PKR Perak  


Kamles Kumar

Azmin Ali mempunyai rekod dan pengalaman yang baik sejak menyertai PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

REKOD cemerlang Azmin Ali dalam PKR bakal menjadi kelebihan buat beliau untuk berdepan pencabarnya, Rafizi Ramli bagi perebutan jawatan timbalan presiden parti.

Menurut pandangan akar umbi PKR Perak, mereka menyokong Azmin kerana beliau memainkan peranan penting dalam mengukuhkan parti sejak penubuhannya pada 1998 sehingga ke hari ini.

Setiausaha Wanita PKR Teluk Intan Rosina Mohd Harun berkata Azmin bersama parti itu sejak zaman awal penubuhan yang penuh berliku, terutamanya ketika penahanan Anwar Ibrahim.

“Azmin mempunyai rekod yang baik dan telah terbukti. Beliau amat setia kepada parti walaupun ketika susah.

“Tambahan lagi, Azmin membuktikan kejayaannya di Selangor (sebagai menteri besar),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemilihan PKR kali ini bakal menyaksikan naib presiden Rafizi akan mencabar Azmin untuk jawatan timbalan presiden.

Dalam perebutan itu, pasukan Rafizi sepanjang kempen menyuarakan keyakinan untuk mengembalikan semangat ‘reformasi’ dalam PKR dan hanya mereka boleh memastikan Anwar menjadi perdana menteri seterusnya.

Rosina berkata Rafiza tidak akan memberi ancaman kepada Azmin kerana ahli PKR telah melihat rekod beliau (Azmin) sebelum ini.

“Ia merupakan masalah peribadi (antara mereka). Parti tidak akan terjejas. Ahli parti sedar tentang perkara itu. Mereka sudah tahu rekod masing-masing,” katanya.

Sementara itu, calon timbalan pengerusi PKR Pasir Salak Yusof Majid berkata terdapat pemimpin parti yang cemburu dengan kejayaan Azmin.

“Kredibiliti Azmin adalah konsisten. Beliau telah menyumbang kebaikan kepada rakyat…mungkin mereka cemburu,” katanya.

Yusof berkata Rafizi perlu kekal sebagai naib presiden daripada mencabar Azmin bagi jawatan tersebut tetapi menyifatkan persaingan itu sebagai era baharu dalam politik.

Ada ahli PKR melihat Azmin sebagai pengganti Anwar sebagai presiden apabila tiba masanya parti itu beralih tampuk kepimpinan.

“Azmin telah membuktikan kemampuan dirinya. Beliau banyak membantu parti dan Pakatan Harapan. Beliau turut membantu negeri-negeri lain, bukan hanya di Selangor,” kata exco Pemuda PKR Ipoh Timur Mohd Eusoff.

Katanya tidak wajar buat Rafizi dan pasukan kempennya mengecam Azmin memandangkan mereka dalam satu parti.

“Ini bukan budaya kita. Kita tidak berlawan sesama sendiri tetapi ini yang berlaku. Mereka mengecam Azmin seolah-olah beliau merupakan ahli Umno. Ini bukan reformasi yang sebenar,” kata Zafril.

Di sebalik perselisihan yang berlaku sepanjang kempen pemilihan PKR, akar umbi parti itu yakin bahawa Anwar akan menyatukan semula Azmin dan Rafizi.

“Beliau (Anwar) perlu menyusun semula parti. Azmin dan Rafizi perlu memainkan peranan mereka bagi memastikan parti ini kuat,” kata Yusof.
 
Zafril berkata, Anwar mempunyai karisma untuk menyatukan semula PKR selepas pemilihan parti.

“Ini adalah kelebihan beliau. Kami yakin ahli akan kembali bersatu dan menjadi kuat. Saya menyokong penuh Anwar,” katanya.
 
Calon ketua Wanita PKR Fuziah Salleh, penyandang jawatan ketua Pemuda Nik Nazmi Nik Ahmad dan ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen antara mereka yang menyokong Rafizi.

Ada di antara mereka yang menuduh Azmin dan pasukannya sebagai korup dan menyalahguna kedudukan untuk mendapatkan kuasa.

Kem Azmin terdiri daripada penyandang jawatan ketua Wanita Zuraida Kamaruddin, timbalan presiden Dr Xavier Jayakumar dan timbalan ketua Pemuda Dr Afif Bahardin. – 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen