BR1M ada unsur 'rasuah', kata Azmin


Kamles Kumar

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan sedang mengkaji cara menghapuskan bantuan tunai dan mewujudkan mekanisme yang lebih sesuai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata bantuan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini merupakan satu bentuk “rasuah” yang bertujuan mendapatkan sokongan politik daripada rakyat.

Beliau berkata bersetuju dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan bantuan tunai secara perlahan-lahan sebelum akhirnya dimansuhkan.

“PM tegas bahawa bantuan tunai untuk mempengaruhi sokongan politik harus dihentikan. Ia mempunyai unsur rasuah untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Pemberian bantuan tunai perlu dihentikan kerana ia mempunyai unsur rasuah untuk mendapatkan kelebihan politik,” kata Azmin kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung PKR Perak di Ipoh.

Timbalan presiden PKR itu berkata Putrajaya sedang mengkaji cara untuk menghapuskan bantuan tunai itu dan mewujudkan mekanisme yang lebih sesuai.

“Saya percaya PM dan kabinet sedang merancang pendekatan baru dan inisiatif yang akan dibincangkan di Parlimen pada Oktober. Kita mahu memperkasakan rakyat, tidak menjadikan mereka bodoh,” kata Azmin.

Beliau berkata antara inisiatif yang dipertimbangkan adalah apa yang dilakukan di Selangor semasa beliau menjadi menteri besar.

 “Saya mempunyai pengalaman di Selangor di mana kami tidak menyogok rakyat dengan wang tunai. Apa yang kami lakukan ialah memberikan mereka kemudahan pinjaman kredit mikro,” tambah Azmin.

Dr Mahathir dalam temu bual dengan The Malaysian Insight berkata Putrajaya akan mengurangkan pembayaran BR1M sebelum memansuhkan ia sepenuhnya.

Perdana menteri juga menuduh pentadbiran Najib Razak merosakkan rakyat dengan memberi mereka wang secara percuma.

Sementara itu, Najib membalas dengan mendakwa Pakatan Harapan menghukum golongan miskin dengan menghapuskan BR1M dan bimbang terhadap ketidakadilan ekonomi negara yang semakin meningkat. – 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen