Walau ada perbalahan, Azmin yakin PKR kekal bersatu


Kamles Kumar

Mohamed Azmin Ali menyeru anggota parti dan pemimpin untuk tampil bersama sebagai satu pasukan kukuh menjadi lebih kuat selepas pemilihan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

WALAU wujud perasaan tidak senang di kalangan ahli, penyandang timbalan presiden Mohamed Azmin Ali percaya PKR akan kekal bersatu dalam menghadapi pemilihan bulan depan.

Katanya, beliau yakin anggota tersebut cukup matang dan dapat meninggalkan kisah silam untuk bersatu di bawah pimpinan presiden baharu, Anwar Ibrahim.

“Saya yakin dengan kematangan ahli parti. Sebaik sahaja pemilihan dijalankan, parti akan lebih kuat di bawah kepemimpinan Anwar dan pemimpin baharu.

“Saya sentiasa percaya dengan kebijaksanaan ahli parti, mereka tentunya ada pilihan untuk memutuskan masa depan parti,” kata Azmin kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung PKR Perak di Ipoh pagi ini.

Pemilihan PKR itu menyaksikan pertembungan di antara beliau dengan pencabarnya, naib presiden parti Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden itu.

Pasukan Rafizi dalam jelajah kempen sejak awal bulan ini membawa slogan Reformasi 20 Tahun untuk menyemarakkan semula semangat reformasi bagi memastikan Anwar menjadi perdana menteri.

Azmin menambah, pemimpin parti sepatutnya mengukuhkan parti untuk mendapatkan sokongan ahli dan juga seluruh rakyat Malaysia.

“Saya menyeru anggota parti dan pemimpin untuk tampil bersama-sama sebagai satu pasukan kukuh. Saya harap kita akan menjadi lebih kuat selepas pemilihan parti,” katanya. – 26 Ogos, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen