MOHAMED Azmin Ali hari ini menyelar pengkritik yang mempersoalkan kesetiaan beliau terhadap PKR, mendakwa bersama parti ketika reformasi bermula pada 1998.
Timbalan presiden PKR itu berkata beliau mempunyai rekod prestasi yang membuktikan kesetiaannya pada parti dan Presiden Anwar Ibrahim.
“Ini perjuangan saya sejak 1998. Saya bukan nak berbangga. Saya nyatakan fakta kerana kesetiaan saya pada Anwar dan perjuangan parti,” kata Azmin pada pembukaan perhimpunan agung PKR Perak di Ipoh pagi tadi.
Ahli Parlimen Gombak itu turut menegaskan bahawa kemuncak kepada pergerakan “reformasi” ialah apabila beliau ditangkap lebih awal sebelum Anwar.
“Saya yang mula-mula ditangkap dan dimalukan. Saya diaibkan.
“Keluarga saya berantakan, tapi saya tetap setia pada Anwar,” Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi memberitahu hadirin.
Azmin dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bersaing merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR. Meskipun menghadapi pelbagai tuduhan termasuk merebut jawatan perdana menteri, menteri itu hanya mengunci mulut.
Hari ini, Azmin berkata beliau hanya mendiamkan diri kerana mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk difikirkan.

“Saya ada tugas, bukannya tak ada kerja. Banyak kerja yang perlu diselesaikan di kementerian saya. Saya bukan sengaja tarik perhatian. Ada orang yang cemburukan saya,” katanya.
Azmin merujuk kepada Rafizi yang ketika mengumumkan pencalonannya berkata beliau (Rafizi) kini tidak bekerja dan boleh memperuntukkan masanya untuk parti.
“Saya tidak ada kerja tetapi tak mengapa. Saya dalam kedudukan terbaik untuk bertanding. Saya tak boleh tawarkan apa-apa selain daripada dedikasi terhadap prinsip kami dalam membentuk parti,” kata Rafizi ketika itu.
Azmin berkata tidak perlu berkempen untuk jawatan timbalan presiden kerana ia sudahpun dibuktikan melalui rekod prestasi beliau.
“Kenapa saya perlu berkempen? Saya berada di sini selama 20 tahun, anda semua kenal saya dengan baik. Sudah 20 tahun tengok muka saya,” katanya, disambut gelak ketawa hadirin. – 26 Ogos, 2018.
Komen