Pilih pemimpin yang konsisten, kata Zuraida


Kamles Kumar

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengingkatkan ahli agar jangan memilih pemimpin yang hanya berkempen semasa pemilihan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

AHLI PKR perlu memilih pemimpin yang konsisten dengan perjuangan parti dan turun ke peringkat akar umbi, kata Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin.

Dilihat sebagai sindiran kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Zuraida berkata ahli harus memilih pemimpin “matang” dan bukan mereka yang berkempen hanya semasa pemilihan parti.

“Pilih orang yang konsisten, bukan mereka yang hanya berkempen semasa pemilihan parti.

“Mereka hanya turun dan berjanji semasa kempen. Mereka tidak menyelesaikan masalah di kalangan ahli pada masa-masa lain,” kata Zuraida semasa merasmikan mesyuarat agung bahagian PKR di Perak.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu memihak kepada Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali yang diserang kem Rafizi kerana mengkhianati perjuangan reformasi dan didakwa menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri seterusnya.

Pasukan Rafizi yang dikenali dengan slogan “20 Tahun Reformasi”,  mengadakan pameran bergerak di seluruh negara, berjanji membangkitkan kembali semangat reformasi dan memastikan Anwar menjadi perdana menteri.

Zuraida, yang bertanding untuk jawatan naib presiden, menambah ahli PKR harus memilih pemimpin yang menyatupadukan parti dan bukan yang memecahbelahkannya.

“Para pemimpin yang kita pilih sepatutnya menyatukan parti, tidak membahagikannya. Kita perlu bercakap dengan satu suara,” tambahnya.

Ahli parti juga perlu melihat rekod lampau para pemimpin PKR ketika mengundi.

“Pemilihan pemimpin perlu disukai oleh parti lain. Perlu disukai oleh Amanah, DAP dan Bersatu.

“Pemimpin yang kita pilih juga perlu ditakuti oleh Barisan Nasional. Lihatlah rekod prestasi para pemimpin ini,” tambah Zuraida.

Sementara itu, seorang lagi calon naib presiden, Dr Xavier Jayakumar berkata pasukan dipilih perlu kuat untuk menyokong bakal presiden Anwar.

“Kita memerlukan pasukan yang kuat untuk berada di samping Anwar. Itulah sebabnya mengapa pemilihan parti ini penting,” katanya.

Mesyuarat di Perak dirasmikan oleh Azmin yang juga merupakan menteri hal ehwal ekonomi.

Antara pemimpin yang hadir termasuk Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnun dan Exco Selangor Daoryah Alwi. – 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen