Hukuman sebat wanita jadi tumpuan lagi


Looi Sue-Chern

Seorang wanita Aceh dikenakan hukuman sebat tahun lepas. Selalsa lepas, dua wanita berumur 22 dan 32 tahun di Terengganu dijatuhi hukuman sebat kerana melakukan hubungan seks sejenis, kes pertama melibatkan golongan lesbian di bawah undang-undang Islam di Malaysia. – Gambar EPA, 26 Ogos, 2018.

SELASA lalu, dua wanita berumur 22 dan 32 tahun di Terengganu dijatuhi hukuman sebat kerana melakukan hubungan seks sejenis, kes pertama melibatkan golongan lesbian di bawah undang-undang Islam di Malaysia.

Dilaporkan, mereka juga adalah wanita pertama yang akan disebat di bawah undang-undang syariah di negeri pantai timur itu.

Berita mengenai hukuman ke atas dua wanita ini menjadi tajuk utama berita di luar negara sehingga mencetuskan bantahan dalam kalangan masyarakat sivil.

Amnesty International Malaysia berkata hukuman sebat itu merupakan satu penyeksaan dan menggesa kerajaan memansuhkan  undang-undang yang menghukum golongan minoriti seksual yang berdepan diskriminasi.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga mengecam keputusan Mahkamah Syariah Terengganu dan menyifatkan hukuman tersebut “menghina dan mengaibkan” serta satu cubaan untuk memalukan kedua-dua wnita terbabit dan keluarga mereka secara terbuka.

Hukuman sebat ke atas wanita di Malaysia amat jarang berlaku. Kali pertama seorang wanita disebat di bawah undang-undang Islam ialah pada Februari 2010, di mana tiga wanita didapati bersalah melakukan zina.

Hukuman sebat terhadap kedua-dua wanita di Terengganu itu merupakan kes pertama melibatkan golongan lesbian di bawah undang-undang Islam di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

Semenjak itu, dua lagi kes wanita disebat kerana melakukan zina atau persetubuhan haram dilaporkan di Sabah iaitu pada 2014 dan 2016.

Melalui kes sebat terbaharu ini, The Malaysian Insight melihat:

Apakah itu hukuman sebat?

Di bawah udang-undang syariah Malaysia, mahkamah syariah boleh melaksanakan hukuman terhadap lelaki dan wanita. Ini berbeza dengan mahkamah sivil yang hanya membenarkan hukuman dilaksanakan terhadap pesalah lelaki.

Undang-undang Islam membenarkan hukuman sebat dijalankan dalam kesalahan takzir dan hudud. Takzir merujuk kepada hukuman yang dilaksanakan atas budi bicara hakim. Ia boleh dilaksanakan ke atas kesalahan yang tidak disenaraikan dalam Al-Quran, tidak seperti hudud di mana hukuman telah ditetapkan.

Kedua-dua wanita di Terengganu berkenaan ditangkap oleh pegawai penguatkuasa Islam pada April selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan sejenis dalam sebuah kereta di dataran awam. Selepas mengaku bersalah, mereka dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM3,300.

Hukuman enam sebatan itu adalah bilangan maksimum yang dibenarkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. 

Hukuman enam sebatan itu adalah bilangan maksimum yang dibenarkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. – Gambar Twitter, 26 Ogos, 2018.

Kesalahan apakah yang boleh menyebabkan orang Islam disebat?

Tidak seperti udang-undang jenayah di mahkamah sivil yang diseragamkam di Malaysia, pelaksanaan undang-undang syariah berbeza mengikut negeri.

Setiap negeri mempunyai undang-undang dan hukuman syariah tersendiri, bermakna beberapa kesalahan di beberapa negeri membenarkan hukuman sebat, manakala negeri lain tidak. Bagaimanapun, perbezaannya tidak terlalu ketara.

Menurut Musa, hukuman berbeza mengikut negeri kerana ia terserah kepada Sultan atau Raja - yang menjadi pelindung kepada agama Islam di negeri masing-masing - untuk menentukan hukuman takzir.

Contohnya, persetubuhan sejenis di Selangor tidak dikenakan hukuman sebat. Hukuman bagi kesalahan adalah denda sehingga RM2,000, penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tetapi, bagi kesalahan hubungan sejenis di Kelantan (liwat) dan Wilayah Persekutuan (“musahaqah” bagi gay dan lesbian) boleh dikenakan hukum sebat.

Kesalahan lain di bawah undang-undang syariah seperti zina, persetubuhan luar nikah, persetubuhan di luar tabii dan minum arak juga boleh dikenakan hukuman sebat. – 26 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen