Ke mana Khairy Jamaluddin selepas pemilihan Umno?


Kamles Kumar SM Amin

Khairy Jamaluddin sering berlaga pendapat dengan pemimpin utama Umno yang melihatnya terlalu radikal, namun masih dianggap sebagai aset penting parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

SEJAK tewas dalam pemilihan Umno untuk merebut jawatan presiden parti, timbul teka-teki mengenai arah tuju bekas ketua sayap Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Beliau sering berlaga pendapat dengan pemimpin utama parti yang melihatnya terlalu radikal, namun kalangan veteran parti masih menganggapnya sebagai aset penting.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, tindakan Khairy itu hanyalah satu “kenakalan” dan parti masih memerlukan sumbangan daripada ahli Parlimen itu.  

Jelasnya, Umno perlu sokongan daripada segenap lapisan masyarakat untuk parti itu kembali rasional dalam arus politik negara dan Khairy mampu melaksanakan tugasan itu.

“Tiada perkara seriuslah. Komen berbeza itu biasalah, janganlah semua orang ambil serius sangat. Khairy punya kenyataan itu nakal-nakal sikit jadi sebagai orang lama kita kena tegurlah.

“Khairy masih relevan dalam parti, ada pengaruh dia,” kata ahli Parlimen Pasir Salak itu yang berpendapat, sokongan semua golongan diperlukan untuk meningkatkan pengaruh Umno.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata parti masih memerlukan sumbangan Khairy Jamaluddin dan mempunyai pengaruh. – Gambar fail The Malaysian Insight,26 Ogos, 2018.

Selepas Umno tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei, Khairy menyatakan kekesalan atas kesilapan besar beliau dan sayap Pemuda Umno yang terlalu menjaga hati pucuk pimpinan parti.

Beliau juga merupakan antara yang paling awal mendesak Najib Razak meletak jawatan dan menganggap sokongan kepada presiden parti itu sebelum ini sebagai tindakan membuta tuli dan tidak waras.

Selain itu, Khairy juga menyokong cadangan agar Najib menjauhkan diri daripada Umno dan memberi ruang kepada presiden baharu, Ahmad Zahid Hamidi untuk memimpin parti.

Beliau turut mengalu-alukan siasatan semula jawatankuasa Parlimen ke atas kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) agar parti tidak agar parti tidak terus mengusung “bangkai bernyawa” itu.

Namun pandangan itu tidak diterima dengan baik dari sesetengah pemimpin parti. Ahli majlis kerja tertinggi, Lokman Noor Adam berpendapat, kenyataan seperti itu akan menyebabkan Khairy ditolak oleh ahli.

Lokman berkata, tiada masalah untuk Khairy memberi pandangan tetapi menegaskan ia tidak seharusnya dibuat dengan cara yang kasar dengan mengguna perumpamaan “bangkai”.

“Mungkin kaedah menyampaikan pandangannya itu mengguris hati sesetengah pihak seperti bangkai bernyawa. Ini ayat yang amat tidak wajar digunakan. 

“Bangkai bernyawa inilah yang bertegas untuk melantik beliau sebagai menteri,” katanya yang berpendapat kata-kata kesat itu ditujukan Khairy kepada Najib.

Namun beliau tetap menganggap Khairy masih penting buat Umno. 

Khairy Jamaluddin antara pemimpin Umno paling awal mendesak Najib Razak meletak jawatan dan menganggap sokongan kepada presiden parti itu sebagai tindakan membuta tuli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

Pandangan sama dikongsi Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub yang berkata kenyataan Khairy hanyalah perbezaan pendapat serta cara berfikir tidak bermaksud parti terpecah kepada dua kumpulan.

“Khairy agak radikal dalam melontarkan pandangan dan fokus supaya parti bermuhasabah diri tetapi geng-geng tua sukar untuk menerimanya. Mungkin mereka tidak faham apa yang hendak Khairy sampaikan.”

Beliau memberi contoh, kenyataan Khairy bahawa rakyat tidak kisah sekiranya kerajaan baharu tidak menunaikan janji manifesto.

Ia berhubung gesaan Khairy agar pemimpin BN mencari hala tuju baharu sebagai pembangkang dan tidak lagi membangkitkan mengenai janji Pakatan Harapan (PH) yang tidak ditunaikan.

“Bagi orang Umno, Khairy sudah lari daripada perjuangan parti… sedangkan Khairy hendak tunjukkan bahawa rakyat tidak peduli dengan janji PH, mereka hanya mahukan Umno tumbang,” kata Mustapha

Tambah Mustapha, Khairy masih relevan dan merupakan aset Umno namun pemimpin muda itu perlukan suatu tempoh kematangan sehingga membolehkan orang lain faham apa yang ingin disampaikan.

Kalangan ahli parti yang setia pada bekas menteri belia dan sukan itu pula percaya Khairy akan dapat mengubah haluan Umno ke ruang tengah.

Ahli yang berhaluan kanan pula menganggap Khairy tidak lagi layak berada di dalam Umno atas kritikan mengenai sokongan membuta tuli ke atas pucuk pimpinan parti dan kerjasama dengan PAS.

Antara lain, seorang bekas pembantu Najib, Isham Jalil yang berkata Khairy sepatutnya menyertai PKR atau DAP.

Lokman Noor Adam kurang senang dengan kenyataan lantang yang dikeluarkan Khairy Jamaluddin terutama melibatkan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight,26 Ogos, 2018.

Khairy bagaimanapun tetap memilih untuk kekal di dalam Umno. Sumber yang dekat dengannya berkata, beliau dilihat sebagai duri dalam daging di kalangan ahli dan pemimpin konservatif parti.

Setiausaha Eksekutif Pemuda Barisan Nasional, Zaidel Baharuddin ramai ahli Umno mahu perubahan dalam parti namun tidak dapat berbuat demikian disebabkan kekangan struktur parti.

“Lihat sajalah jumlah undi yang diperolehi Khairy dalam pemilihan parti,” katanya, merujuk kepada sokongan 61 daripada 191 undi bahagian. Pemenangnya, Zahid Hamidi mendapat 99 undi bahagian.

“Bagaimanapun sistem parti tidak membenarkan perubahan besar oleh ahli (disebabkan) sistem hierarki yang kaku,” kata Zaidel kepada The Malaysian Insight.

Kalangan pemimpin parti juga melihat Khairy mampu memikul tanggungjawab sebagai pemimpin memandangkan Zahid tidak bertindak proaktif mengetuai pembangkang.

Malah, Najib dilihat lebih berkesan sebagai pemimpin pembangkang dengan mengeluarkan kenyataan setiap hari di Facebook.

Di Dewan Rakyat, Khairy juga sering bergeser dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam isu pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan juga dalam mempersoalkan Majlis Penasihat Kerajaan.

Khairy Jamaluddin dilihat mampu memikul tanggungjawab sebagai pemimpin parti memandangkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak bertindak proaktif mengetuai pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

“Khairy mempunyai kewibawaan untuk membawa jenama Umno sendiri… yang meraikan perbezaan pandangan dan boleh setuju untuk tidak bersetuju,” kata anggota Exco Pemuda Umno Ibdillah Ishak.

Beliau juga percaya nilai ini akan memberi hasil paling baik kerana Umno bukan sahaja akan mendapat pemimpin yang membangkang semata-mata tetapi turut membolehkan Umno kembali berpengaruh. – 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen