PAKATAN Harapan (PH) memulakan Jelajah Malaysia Baharu dengan mengadakan ceramah di negeri kelahiran perdana menteri, Kedah, malam tadi.
Jelajah yang bertujuan untuk menjawab kritikan dari pengkritik dan pembangkang utama, Barisan Nasional (BN) serta PAS, PH akan mengadakan ceramah bulanan di seluruh negara bagi menjelaskan mengapa gabungan itu gagal memenuhi janji pilihan raya dalam 100 hari pertama pentadbirannya.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengakui ramai menteri dalam Kabinet adalah “baru” dan masih lagi menyesuaikan diri dengan peranan masing-masing.
“Baru-baru ini perdana menteri menegur sebahagian daripada kami bersikap “terlalu pembangkang”. Tetapi selain Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng dan Azmin Ali, ramai antara kami jadi pembangkang selama 40 tahun. Jadi sekarang ini kami sedang belajar bagaimana jadi menteri,” Mohamad dengan rendah diri berkata.
“Tetapi kami ikhlas untuk membetulkan struktur kerajaan,” katanya sambil menegaskan bahawa buat pertama kalinya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kini diketuai oleh Ahli Parlimen pembangkang, Ronald Kiandee (BN).
Kerajaan juga ikhlas untuk memenuhi janji-janji dan telah menghapuskan cukai barangan perkhidmatan (GST), katanya.

“Dan sekarang kami akan menjelaskan kepada pengundi kami mengapa semua janji manifesto masih belum dipenuhi, bermula dari Alor Setar kemudian ke tempat lain setiap bulan. Lepas ini di Sabah,” kata presiden Amanah itu.
Mohamad juga berkata PH juga menyangka semua masalah dan kerosakan yang didedahkan sebelum ini boleh ditangani namun apa yang berlaku sebenarnya adalah sebaliknya.
Ini turut diakui oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Menjelang Hari Merdeka ke-61, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dengan peralihan kuasa yang berlaku secara aman. Tetapi, perjalanan untuk membetulkan semula semua kerosakan masih panjang,” kata presiden PKR itu.
Keutamaan kerajaan PH kata Wan Azizah masih untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin tegar, jadi pelancaran caruman KWSP untuk suri rumah akan dikuatkuasakan bulan ini.
Memulihkan Malaysia
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berucap selepas Wan Azizah juga berkata beliau pada awalnya tidak menyangka kerosakan yang ditinggalkan BN ssebenarnya jauh lebih teruk.
“Bukan saja kita dibebani hutang RM1 trilion, BN juga merosakkan perkhidmatan awam dengan melantik pegawai tertinggi ke dalam parti.
“Pegawai-pegawai ini sepatutnya jadi pentadbir tetapi mereka digunakan untuk berkempen bagi pihak BN semasa pilihan raya.
“Sekarang kami tak pasti jika arahan kami dilaksanakan dengan betul,” kata Dr Mahathir.

Menurut pengerusi PH itu, keadaan jauh lebih mudah baginya ketika jadi perdana menteri pada 1983 kerana beliau hanya meneruskan pentadbiran kerajaan yang baik dan kedudukan kewangan yang kukuh.
“Sebaliknya sekarang, kami perlu ambil masa yang lama untuk bersihkan kementerian.”
Merujuk kepada isu kakitangan PH yang tidak menerima gaji selama tiga bulan baru-baru ini, Dr Mahathir berkata ini adalah contoh ketidakcekapan dalam perkhidmatan awam yang diwarisi dari BN.
“Kami menggaji pegawai baharu tetapi perkhidmatan awam tak bayar gaji mereka selama tiga bulan. Sebab itu kami tak dapat berfungsi dengan baik.”
Namun, Dr Mahathir berjanji Malaysia akan mencapai Wawasan 2020 atau status negara maju meskipun sedikit lewat.
“Walaupun terdapat cabaran (bayar hutang dan pulihkan jentera kerajaan), kami ada perancangan. Dan semoga Wawasan 2020 tidak terlalu lama (untuk dicapai).”

Tiada istilah duit percuma
Perdana menteri berusia 93 tahun itu memberi amaran bahawa kerajaan secara beransur-ansur akan menghentikan agihan “wang percuma”.
“Ramai orang tanya sama ada kami juga akan beri wang tunai percuma. Kalau anda izinkan kami mencuri, kami boleh beri,” kata Dr Mahahthir.
Sebalinya, beliau berkata tumpuan PH ialah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Apabila rakyat kaya, kerajaan juga akan kaya disebabkan cukai yang dipungut. Kerajaan mahu rakyat jadi kaya,” kata perdana menteri. – 26 Ogos, 2018.
Komen