PILIHAN raya kecil (PRK) di Selangor baru-baru ini membuktikan bahawa Umno dan PAS berada dalam satu pakatan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Perkembangan ini bagaimanapun hanya akan mendorong lebih ramai orang Melayu masuk Pakatan Harapan (PH), katanya.
“Di Sungai Kandis, PAS beri laluan Umno bertanding dan menyokong Umno. Di Seri Setia, PAS pula bertanding dan Umno beri sokongan.
“Tetapi di Balakong, PAS kata akan sokong MCA kerana parti itu hanya kritik hudud, bukan PAS,” kata Mohamad dalam ceramah Jelajah Malaysia Baharu di Alor Setar malam tadi.
Tambah bekas pemimpin PAS yang kini presiden Amanah itu lagi, ini merupakan satu kegagalan BN kerana akan mendorong lebih ramai orang Melayu menyertai parti PH.
“Ini menunjukkan BN bukan lagi gabungan 13 parti. Yang tinggal hanyalah MCA, MIC dan Umno, campur PAS.
“Tapi ini hanya akan galak lebih ramai orang Melayu masuk mana-mana parti Pakatan,” kata Mohamad.

Dalam kempen pilihan raya umum lepas, parti komponen PH mendakwa Umno membayar beberapa pemimpin PAS bagi mewujudkan pertembungan tiga penjuru di seluruh Semenanjung, dengan harapan untuk menutup peluang PH.
Tetapi kemudian didapati PAS hanya berperanan sebagai “pengacau” untuk BN dalam 24 kerusi di mana jumlah undi bagi calon yang kalah (PAS dan Umno) melebihi daripada undi yang diperoleh pemenang (PH).
Menurut Mohamad, tuduhan bahawa Umno membeli pemimpin PAS hanya akan terbukti melalui kes yang didengar di mahkamah di London April depan.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengemukakan saman ke atas Sarawak Report menjelasng pilihan raya umum lalu selepas portal itu menerbitkan satu laporan mendakwa partinya menerima wang dari Umno.
Antara bukti kes ialah rakaman suara salah seorang pemimpin PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengaku menerima wang dari Umno. – 26 Ogos, 2018.
Komen