Sabah tunggu keputusan Putrajaya berhubung perkahwinan kanak-kanak


Jason Santos

Sabah akan menunggu keputusan Putrajaya berhubung pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 kepada 18 tahun sebelum melaksanakannya di negeri ini, kata Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Aidi Mokhtar hari ini. – Gambar AFP, 25 Ogos, 2018.

SABAH akan menunggu keputusan Putrajaya berhubung pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 kepada 18 tahun sebelum melaksanakannya di negeri ini, kata Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Aidi Mokhtar hari ini.

Beliau berkata Enakmen Keluarga Islam Sabah masih berkuat kuasa seperti biasa sehingga kerajaan Persekutuan memberi lampu hijau untuk menaikkan had umur perkahwinan kanak-kanak.

“Buat masa ini kita tidak ada rancangan untuk pinda dan kemas kini enakmen tersebut. Kita akan tunggu Putrajaya dan jika perubahan berkenaan dibuat, kita akan pertimbang untuk turut naikkan had umur.

“Perkara itu juga akan dibincangkan dengan pihak lain seperti mahkamah adat. Lagipun, mahkamah syariah di Sabah tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kebenaran untuk perempuan berusia 16 tahun ke bawah untuk berkahwin,” katanya pada majlis penutup Program Keharmonian Antara Agama di Bukit Padang, Kota Kinabalu hari ini.

Beliau mewakili Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal yang tidak dapat menghadiri acara itu.

Kerajaan Persekutuan ketika ini sedang berusaha bagi mewujudkan garis panduan untuk mahkamah syariah berhubung perkahwinan bawah umur dan meningkatkan had umur berkahwin bagi perempuan daripada 16 kepada 18 tahun.

Perkahwinan melibatkan kanak-kanak mengundang reaksi orang ramai selepas tular berita mengenai seorang lelaki berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan mengahwini seorang budak berusia 11 tahun untuk dijadikan isteri ketiganya di Selatan Thailand.

Dalam perkembangan lain, Aidi berkata rancangan kerajaan negeri untuk memperkenalkan program dialog antara agama di sekolah adalah untuk memupuk pemahaman dan toleransi mengenai perkara itu pada usia muda.

“Sekolah adalah tempat terbaik untuk mula menyebarkan dan memupuk asas toleransi dan harmoni untuk masa depan rakyat Sabah,” katanya.

Program yang dilaksanakan di Masjid Nurul Hikmah di Bukit Padang itu dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. – 25 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen