SEKATAN Orang Asli terhadap peladang dan pembalak akan dimusnahkan oleh pihak berkuasa Kelantan minggu depan, kata aktivis suku Temiar di Gua Musang.
Arahan itu dikeluarkan kurang sebulan selepas kerajaan Persekutuan mengumumkan yang ia akan memulakan rundingan dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan konflik hak tanah adat yang tercetus antara masyarakat temiar dan pemilik perniagaan tani di Gua Musang.
Ketua Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata arahan itu dikeluarkan melalui polis Gua Musang yang melawat dua sekatan itu pagi ini.
Pegawai polis melawat kedua-dua sekatan di Cawas dan Kaleng pada kira-kira pukul 10 pagi bagi menyampaikan arahan tersebut. Mustafa bertugas di sekatan Cawas, yang menghalang kemasukan pembalak ke hutan simpan Perias.
Sekatan Kaleng didirikan untuk menyekat peladang yang beroperasi di hutan Balah, sementara sekatan Kegeeng menghalang kemasukkan peladang ke hutan simpan Gunung Stong.
“Saya tidak berada di pos saya pagi ini kerana ada urusan lain. Tetapi aktivis di Cawas beritahu saya yang polis Gua Musang melawat mereka dan memberitahu mereka yang kerajaan negeri akan musnahkan sekatan minggu depan. Sama ada 27 atau 28 hari bulan,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insight.
“Kami diberi masa untuk sama ada mengosongkan sekatan atau menurunkannya sendiri atau pihak berkuasa sendiri yang akan buat.
“Tetapi kami tak pasti agensi mana yang akan buat (musnah sekatan) kerana polis kata arahan datang daripada kerajaan negeri.”
Mustafa berkata aktivis berkenaan tidak akan tunduk kepada pihak berkuasa dan polis tidak beritahu sama ada sesiapa akan ditahan.
Pada 2016, 41 aktivis JKOAK ditahan kerana mendirikan sekatan dekat Kaleng. Mereka kemudian dibebaskan.
“Tak kisahlah sama ada mereka musnahkan sekatan kami atau tidak, kami akan dirikan sekatan baru,” kata Mustafa.
Aktivis berkenaan berdepan konflik dengan peladang dan pembalak berhubung tuntutan hak tanah adat.
Konflik itu mencetuskan konfrontasi antara aktivis dan pembalak sehingga memaksa Orang Asli membina sekatan bagi menghalang kumpulan pembalak memasuki kawasan hutan Ulu Kelantan.
JKOAK mendakwa kumpulan pembalak dan syarikat peladang memusnahkan tanah mereka yang merupakan tempat untuk mendapatkan makanan, air bersih, perubahan dan penting buat identiti serta kepercayaan mereka.
Masalah itu dikatakan berpunca apabila kerajaan Kelantan tidak mahu mengiktiraf tuntutan puak Temiar terhadap tanah adat mereka di Gua Musang sehingga membenarkan orang luar menceroboh kawasan itu.
Protes sekatan itu juga tidak mendapat sokongan daripada semua masyarakat Temiar di Gua Musang memandangkan ada dalam kalangan mereka bergantung kepada pendapatan bekerja di ladang.
Kerajaan Persekutuan sedia memulakan rundingan dengan kerajaan Kelantan dan Orang Asli untuk menyelesaikan masalah antara peladang, kerajaan negeri dan masyarakat minoriti itu. – 25 Ogos, 2018.
Komen