KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) sedang menyiasat dakwaan bahawa tiga anggota khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menjadi pegawai pengiring kepada bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein.
Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata beliau sudah memaklumkan kepada Pejabat Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berhubung perkara itu.
“Saya sudah memaklumkan kepada pejabat menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Malaysiakini, memetik sumber, melaporkan bahawa dua anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang komando masih berkhidmat kepada Hishammuddin, malah mendapat dua gaji, iaitu daripada ATM dan bekas menteri pertahanan tersebut.
“Sepatutnya mereka tentera tak boleh bekerja dengan sesiapa tetapi ini mereka bekerja pula dengan Hishammuddin, malah bukan separuh masa sebaliknya sepenuh masa,” kata sumber itu seperti dipetik oleh Malaysiakini.
Dua anggota Paskal tersebut dilaporkan masih berkhidmat, masing-masing sehingga 2020 dan 2021.
Tiga pegawai berkhidmat dengan Hishammuddin sejak beliau menjadi menteri pertahanan pada 2013.
The Malaysian Insight sedang menunggu reaksi Hishammuddin berhubung dakwaan tersebut. – 25 Ogos, 2018.
Komen