Haiwan Zoo Melaka tua, bukan terabai


Noel Achariam

Harimau dan singa di Zoo Melaka sudah berusia lebih 20 tahun, satu usia yang menakjubkan untuk haiwan seperti itu. Disebabkan usianya, ia nampak lemah dan kurus kering tetapi masih sihat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Ogos, 2018.

SALENG dan Dungun, pasangan singa dan harimau tertua dalam jagaan Zoo Melaka berada dalam keadaan sihat walaupun wujud dalam dakwaan dalam media sosial yang haiwan tersebut tidak dijaga dengan baik.

Pembantu Penyelaras Zoo Melaka Pradeep Gunasegaran berkata Saleng dan Dungun tidak mempunyai sebarang masalah.

“Singa dan harimau di sini nampak tidak sihat kerana mereka sudah tua bukannya kerana kami tak beri makan.

“Mereka masih makan seperti biasa dan bebas dalam kurungan masing-masing,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pradeep berkata Dungun ditangkap pada 1998 di Terengganu, manakala Saleng pula diselamatkan di Johor tujuh tahun lalu. Kedua-duanya sudah berusia lebih 20 tahun.

Menurutnya, jangka hayat seekor singa boleh mencecah 25 tahun dalam kurungan dan 14 tahun dalam dunia luar.

“Untuk harimau pula, rekod terlama pernah dicatat di Hawaii di mana seekor harimau hidup sehingga 25 tahun dalam kurungan, manakala hayatnya kurang 20 tahun di dunia luar.”

Pembantu Penyelaras Zoo Melaka Pradeep Gunasegaran berkata catatan media sosial yang mendakwa haiwan di zoo tersebut tidak benar dan sudah lama tersebar. Pihak pengurusan sudah bertindak mengatasi masalah yang wujud. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Ogos, 2018.

Catatan media sosial yang tular mendakwa zoo itu berada dalam keadaan yang teruk, manakala singa dan haiwan lain kurus kering. Catatan itu juga mendakwa gajah dirantai.

Pradeep berkata catatan tersebut ditulis pada 2016 dan pihak pengurusan zoo sudah menyelesaikan masalah itu.

“Jabatan Hidupan Liar datang menyiasat dan mendapati kedua-dua binatang itu sudah tua dan bukan terabai.” – 25 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen