Mujahid nafi arah pindah Zamihan ke Jakim


Zaim Ibrahim

Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa menjawab isu penamatan tugas Zamihan Mat Zin sebagai panel pemulihan suspek kes militan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2018.

MENTERI Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa menafikan dakwaan bahawa beliau mengarahkan Zamihan Mat Zin dipindahkan semula ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebaik dilantik sebagai menteri.

Katanya beliau tidak mengeluarkan arahan tersebut, seperti didakwa pendakwah kontroversi itu dalam satu laporan portal berita Khamis lalu.

“Saya tidak tahu, tidak ada arahan daripada saya seperti itu,” katanya ringkas kepada pemberita di Sepang sekembalinya dari mengerjakan haji hari ini.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkin bertanggungjawab atas arahan tersebut.

“Cuma saya rasa, pihak KDN juga akan memberi kenyataan kerana mereka ambil (Zamihan) daripada (Jakim) pergi ke (KDN),” tambah beliau. 

Zamihan pada Khamis lalu mendakwa selepas beliau diarahkan berpindah dari KDN ke Jakim dalam masa 24 jam sebaik selepas Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengetuai Jakim.

“Saya pegawai kerajaan dari Jakim, saya ada jawatan tetap di Jakim, tetapi sebelum ini dipinjamkan ke KDN. Bila Jakim dapat menteri baru, saya diarahkan bertukar semula ke Jakim dalam masa 24 jam,” katanya seperti dipetik dalam laporan Free Malaysia Today.

Zamihan juga mendakwa pelantikannya sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis di Jabatan Penjara masih sah kerana ia berkuatkuasa sehingga 2019.

“Jawatan saya sebagai pegawai radikalisasi di KDN adalah lantikan selama dua tahun sekali dan ia dibuat (Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ahmad) Zahid (Hamidi) sendiri, sejak dilantik pada Jun 2017, tarikhnya masih sah iaitu hingga Jun 2019.

Timbalan menteri dalam negeri Azis Jamman dalalm laporan itu mengesahkan bahawa Zamihan ditamatkan kontrak sebagai pegawai agama yang dipinjamkan ke Jabatan Penjara untuk pemulihan suspek militan.

Pada 2016, Zamihan diarahkan bertukar ke Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dari KDN dalam masa 24 jam selepas satu kenyataan mengaitkan Jihad Salafi dengan militan.

Di KDN, beliau dilantik sebagai salah seorang daripada 46 anggota panel pemulihan suspek kes berkaitan militan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).

Beliau juga merupakan individu penting dalam menyemak penerbitan agama dan ditempatkan di Jabatan Penjara sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis. – 25 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen