Dr Rani terus pikat akar umbi untuk kekalkan kerusi PAS di Selangor


Nabihah Hamid

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman memerika pesakit di rumah mereka ketika melawat kawasan yang diwakilinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Julai, 2017.

DALAM suasana politik negara yang semakin membusuk, seorang wakil rakyat parti Islam, PAS memilih untuk bekerja dalam diam untuk akar umbinya dalam kawasannya sendiri, untuk terus meraih sokongan mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Demi rakyat, Dr Abdul Rani Osman sudah bersiap sedia memulakan tugasnya selepas menunaikan solat Subuh.

Hampir setiap pagi ahli Dewan Undangan Meru (Adun) selama dua penggal itu melewati tiga gerai berbeza selain mengagihkan bungkusan makanan nasi lemak kepada penduduk setempat.

Jadualnya padat hingga ke malam dengan aktiviti melawat orang sakit, kawasan bencana dan program lawatan formal.

“Faktor untuk menang pilihan raya ada banyak tetapi bagi saya sikap turun padang amat penting. Pendekatan saya dalam ceramah berbeza. Saya tidak suka bantai Umno kerana bagi saya itu tidak betul.

“Kita buat kerja betul-betul. Kenal penduduk dan bukan hanya turun bila hendak jadi calon,” katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight. 

Hampir setengah hari The Malaysian Insight mengikuti Dr Rani melawat kawasan setempat, individu bertubuh kecil itu sentiasa mendapat perhatian orang ramai.

Berkebolehan dalam pelbagai bahasa, Dr Rani dilihat mesra menyapa seorang lelaki India dan Cina sewaktu membuat lawatan ke klinik Fitrah miliknya di Pekan Meru.

Beliau juga membuat pemeriksaan percuma sewaktu melawat penduduk yang mengalami kemalangan mahupun jatuh sakit.

“Kita bersahaja. Tiada protokol. Dengan penduduk kita kena mesra. Saya boleh bercakap dalam banyak bahasa termasuk Tamil, Mandarin, Iban, Arab dan Inggeris,” kata doktor perubatan yang berpengalaman hampir 20 tahun itu.

Pada PRU 14, PAS hanya mampu pertahankan Meru dan Bangi

Menurut kajian yang dijalankan dua pihak termasuk Institut Darul Ehsan (IDE) yang dipimpin Profesor Dr Redzuan Othman, hanya dua kerusi negeri mampu dipertahankan PAS di Selangor.

Parti itu dijangka kehilangan banyak kerusi sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru antara PAS, BN dan Pakatan Harapan dalam PRU14 kelak.

Ia termasuk kerusi pelbagai kaum, Meru yang sudah dua penggal dipegang Dr Rani dalam kawasan yang pengundi majoriti Melayu iaitu sebanyak 59%, serta pengundi Cina 27% dan India 12%.

Satu lagi kerusi adalah Bangi, dimenangi Mohd Shafei Ngah sebuah kawasan Melayu pertengahan yang menempatkan pelbagai intitusi pengajian tinggi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pengundi Melayu di sini adalah lebih tinggi iaitu 66%, Cina 19% manakala India 13%.  

PAS dijangka terus mengekalkan kerusi Meru walaupun pengundi Cina dan India sudah tidak berpihak kepada parti itu lagi.

“Itupun kalau Dr Rani dikekalkan sebagai calon. Jika calon lain belum tentu,” kata Redzuan kepada The Malaysian Insight.

Beliau merujuk kepada khidmat Dr Rani di Meru yang turut mempunyai rekod baik semasa menjadi pesuruhjaya PAS pada 2013 dengan kemenangan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada pilihan raya 2008, PAS hanya menang lapan kerusi di Selangor, ketika itu  pesuruhjaya di Selangor ialah Hassan Ali.

Namun selepas PRU13, Dr Rani diberhentikan sebagai pesuruhjaya dan digantikan  Iskandar Samad.

Kini Iskandar yang pro kerjasama dengan pembangkang khasnya PKR dan Bersatu juga ditukar.

Kajian sama turut didedahkan bekas Dekan Fakulti Ekonomi UPM Dr Zainal Abidin Kidam sewaktu membuat pembentangan kajiannya di seminar wakil rakyat PAS di Selangor.

Parti itu didakwa hanya berjaya mengekalkan dua kerusi iaitu Meru dan Bangi kerana hilang sokongan bukan Melayu.

Justeru, pengarah urusan Harakah itu menggesa semua wakil rakyat dan PAS bertindak segera bagi memastikan perkara itu tidak menjadi realiti.

Mengikut penganalisis, PAS hanya akan mampu pertahankan 2 kerusi DUN Selangor dalam PRU 14. Salah satunya ialah kerusi Meru yang kini sudah dua penggal dipegang Dr Abdul Rani Osman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Julai, 2017.

Bukan di zon selesa

Walaupun memperolehi lebih 9,000 majoriti pada PRU lalu dan menang dua penggal berturut-turut, Dr Rani enggan sambil lewa dan tidak menganggap dirinya berada di zon selesa.

Beliau turut rasa bimbang gagal pertahan kerusi sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru yang hanya memberikan kelebihan kepada Umno dan Barisan Nasional.

“Teruskan berkhidmat. Dan kita hendak beri sumbangan tidak perlu letak imej parti. Contohnya pada beg (sumbangan) saya hanya letak nama saya.

“Dan saya tidak kisah jika saya masuk dan lawat satu taman tidak masuk Selangorkini atau liputan media. Apa yang lebih berkesan kebaikan yang diluahkan dari mulut ke mulut,” katanya lagi.

“Ada orang beritahu saya. Kalau Dr Rani bertanding di Meru ada 18 penjuru pun doktor boleh menang tetapi terus terang saya beritahu kalau tiga penjuru Umno yang menang.

“Lebih baik jangan kerana kemungkinan undi pecah,” katanya lagi.

PAS turut terjejas tanpa Pakatan Harapan

Yakin Pas mempunyai jentera yang kukuh selain pemerhati politik yang cekap, Dr Rani menyifatkan pengundi bijak memilih dan bersikap matang pada PRU14 kelak.

Doktor perubatan lulusan Universiti Tanta, Mesir itu bagaimanapun mengakui parti Islam itu sedikit sebanyak terkesan terutamanya daripada segi sokongan bukan Melayu kerana tidak sebaris dengan Pakatan Harapan.

“Ya, sedikit sebanyak mungkin ada kesan tapi kita berharap ia ada hikmahnyalah Sesungguhnya peperangan ini (politik) penuh dengan tipu helah dan tipu daya.

“Kita tidak kata mereka (bukan Melayu) 100 akan dengan PAS. Sebab itu pentingnya turun padang. Buat kerja akar umbi dan bawah.

Parti itu meninggalkan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat pada Jun 2015 selepas pertelingkahan berhubung pelaksanaan hudud dengan DAP.

Manakala hubungan PAS-PKR pada 11 Mei diputuskan selepas Majlis Syura meluluskan usul tersebut pada muktamar ke-63 di Alor Setar. – 30 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen