Pornografi, kurang hiburan punca ramai remaja sekolah cuba seks


Zaim Ibrahim

Pengkaji percaya kekurangan hiburan di luar bandar dan pendedahan kepada bahan lucah melalui gajet elektronik mendorong ramai individu melakukan hubungan seks sejak awal remaja.

Pengkaji psikologi dan kaunseling Universiti Malaya (UM) mengaitkan perkara itu ketika mengulas satu hasil kajian yang mendapati ramai remaja berpengalaman melakukan seks sejak sekolah menengah.

Pensyarah di Fakulti Pendidikan UM Noor Aishah Rosli berkata pelajar di bandar lebih terdedah dengan aktiviti hiburan tetapi di luar bandar, golongan remaja kurang terdedah dengan perkara itu.

“Kehidupan di bandar mempunyai banyak keseronokan manakala di luar bandar adalah terhad. Di bandar, boleh pergi keluar untuk tengok wayang, mempunyai gajet, keluar bersama kawan-kawan untuk makan. 

“Berbeza di kampung, perkara itu terhad dan mereka mula mencuba melakukan hubungan seks apabila berkawan dengan orang berlainan jantina,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Beliau mengulas satu hasil kajian Institut Kesihatan Umum yang mendapati 7.3% daripada hampir 27,500 orang pelajar sekolah menengah pernah melakukan hubungan seks.

Kajian itu menyebut, negeri Pahang mencatatkan peratus pelajar paling ramai yang pernah melakukan seks, 9.5% dan paling rendah di Kuala Lumpur, 4.3%.

Daripada jumlah pelajar yang pernah melakukan seks itu, seramai 8.8% didapati pelajar lelaki dan dan sejumlah 5.8% terdiri daripada pelajar perempuan. 

Bagaimanapun jumlah pelajar paling ramai yang didapati masih aktif melakukan seks adalah di Selangor – 5.4%, dengan 6% daripadanya pelajar lelaki dan 5% perempuan.

Seramai 31.9% pula didapati cuba melakukan hubungan seks sejak usia sebelum 14 tahun. 

Pelajar Tingkatan 1 mencatatkan peratus paling tinggi (9.3%) diikuti, Tingkatan 4 (7.3%), Tingkatan 2 dan Tingkatan 5 (6.9%) manakala Tingkatan 3 (6.1%).

Mengulas data tersebut, Noor Aisyah berkata faktor utama mendorong pelajar berkenaan melakukan seks adalah perasaan ingin tahu yang dikuatkan lagi dengan pendedahkan melalui gajet elektronik.

“Perasaan ini adalah semulajadi tetapi peraan itu bertambah kuat apabila melihat (adegan seks) secara visual.

“Faktor kedua pula ialah pendedahan daripada gajet-gajet elektronik. Banyak iklan-iklan berbentuk lucah mudah didapati hingga ingin mencubanya bersama rakan atau pasangan,” jelasnya pensyarah itu. 

Infografik menunjukkan pelajar di bandar lebih terdedah dengan aktiviti hiburan tetapi di luar bandar, golongan remaja kurang terdedah dengan gejala seks. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2018.

Kajian Institut Kesihatan Umum itu turut mengenal pasti bahawa amalan seks yang selamat dalam kalangan remaja menunjukkan peratusan membimbangkan.

Pada tahun 2012, seramai 32.2% pelajar didapati menggunakan kondom dan 43.7% menggunakan kaedah pencegahan lain.

Namun, bagi tahun 2017, penurunan yang agak ketara dapat dilihat apabila 12.7% lelaki menggunakan kondom dan 10.3% lelaki dan perempuan menggunakan kaedah pencegahan kehamilan yang lain. 

Seramai 16.6% remaja pula didapati mengamalkan hubungan seks dengan sekurang-kurangnya dua individu, menurut laporan ajian yang diterbitkan April lalu.

Kajian itu juga mengesan bahawa pelajar dari Kelantan paling ramai menggunakan alat pencegah kehamilan – seramai 22.2% menggunakan kondom dan14.9% menggunakan kaedah lain.

Pelajar di Putrajaya pula paling sedikit yang menggunakan kondom paling rendah, seramai 3.2% dan pelajar di Johor paling sedikit yang mengunakan kaedah lain, seramai 8.1%.

Mengulas perkara ini, Noor Aishah berkata ibu bapa perlu memainkan peranan yang aktif dalam pendidikan seks. 

“Pendidikan seks perlu dimulakan di rumah. Ketika anak berusia 11 tahun, ibu bapa patut memberi penerangan secara berperingkat bermula dengan organ seksual lelaki dan wanita,” jelasnya.

Tambahnya, pendidikan seks juga perlu diajar secara formal di sekolah sejak pelajar itu berusia 13 tahun. 

Katanya lagi, ibu bapa juga perlu diberi pendidikan keibubapaan supaya dapat mendidik anak dengan cara yang betul mengikut peringkat umur. 

Kajian gaya hidup remaja itu dijalankan selama dua bulan pada tahun 2017, melibatkan 27,497 pelajar daripada 212 buah sekolah seluruh negara. – 25 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen