KERAJAAN akan menyiasat dakwaan terdapat parti menggunakan khutbah di masjid untuk membangkitkan fitnah bahawa kerajaan menghalalkan kegiatan LGBT, kata Menteri Mujahid Yusof Rawa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata tidak patut jika mana-mana parti menggunakan mimbar masjid sebagai medan untuk menyebar fitnah demi kepentingan politik.
“Agama sepatutnya bebas daripada sebarang elemen-elemen politik termasuklah dalam khutbah di mimbar masjid.
“Sepatutnya ia menyeru (manusia) kepada kebaikan, membina negara, dan jauhkan daripada melabel kelompok-kelompok tertentu hanya kerana berbeza pandangan,” jelasnya.
Bercakap kepada pemberita sekembalinya dari mengerjakan ibadat haji hari ini, beliau berkata beliau akan menyemak lebih lanjut mengenai dakwaan terseut.
“Saya baru balik (daripada Mekah), saya lebih menumpukan kepada ibadat dan jemaah haji. Saya akan ke pejabat untuk menyemak lebih lanjut dan menggunakan kaedah yang sesuai untuk siasat dakwaan itu benar atau tidak,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan pemimpin Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed bahawa PAS menggunakan khutbah Aidiladha untuk menyebarkan fitnah bahawa kerajaan menghalalkan kegiatan LGBT.
Menurut Che Ibrahim, teks khutbah Aidiladha yang dikeluarkan Dewan Ulama PAS Kelantan itu dibaca oleh sesetengah khatib semasa solat sunat hari raya Rabu lalu.
Selain itu, Che Ibrahim juga mendakwa khutbah berkenaan turut mengaitkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai “ancaman” kepada Melayu serta Islam. – 25 Ogos, 2018.
Komen