PERHIMPUNAN Agung Umno – pertama sebagai pembangkang- tahun ini akan diadakan selama dua hari berbanding pesta meriah lima hari sebelum ini.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa memberitahu The Malaysian Insight yang perhimpunan agung itu akan diadakan pada hujung minggu terakhir September yang menjanjikan majlis berlaku sepanjang hari.
“Ada dua hari AGM (mesyuarat agung) tetapi pada siang dan malam. Kami bermula Jumaat, kami akan ada pembukaan diikuti dengan mesyuarat tiga sayap parti.
“Ucapan presiden akan diadakan pada malam berikutnya. Jadi ia pendek tapi padat,” katanya.
Bagaimanapun, Annuar pantas menegaskan keterujaan menyelubungi perhimpunan masih kekal sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Mungkin tak segah dahulu kerana masa pendek, tetapi jumlah perwakilan kekal sama.
“Kami masih akan ada pelbagai gerai. Ia akan masih meriah, sama seperti dahulu. Setakat yang kami tahu, ia kekal sebagai acara penting kepada kami,” katanya.
Umno mempunyai lebih tiga juta ahli dan perhimpunan tahun sebelum ini dihadiri sekurang-kurangnya 2,700 perwakilan.
Perhimpuna itu selalunya dimeriahkan dengan gerai menjual pakaian, makanan dan cenderahati yang menjadi tumpuan perwakilan dan orang ramai serta memeriahkan persekitaran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – 25 Ogos, 2018.
Komen